Penduduk membersihkan rumah mereka selepas dinaiki banjir kilat di kawasan Kangkar Pulai, Johor Bahru, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Dua rumah di sekitar kawasan Kangkar Pulai di sini hari ini dilanda banjir selepas hujan lebat yang berterusan pada petang ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Johor Bahru dalam satu kenyataan memberitahu, hujan melebihi dua jam itu mengakibatkan air parit berhampiran melimpah dan masuk rumah.

“Dua rumah didapati dinaiki air. Bagaimanapun, keadaan terkawal dan air mula surut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada Pegawai Bencana Operasi, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Johor Bahru berkenaan banjir kilat di kawasan Kangkar Pulai pukul 3.51 petang.

Kenyataan itu memaklumkan, seorang pegawai dan dua anggota menuju ke lokasi kejadian pada pukul 4.06 petang bersama-sama sebuah ambulans.

Menurut APM daerah ini, keadaan cuaca terkini dilaporkan cerah dan tiada sebarang pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Tular dalam media sosial, beberapa kawasan sekitar Kangkar Pulai di sini dinaiki air menjejaskan kawasan rumah, jalan raya dan jambatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast