Jalex Lee

JOHOR BAHRU – Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga baharu RON95 yang berkuat kuasa mulai 30 September ini adalah langkah berani dan penuh pertimbangan.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Jalex Lee berkata, langkah itu memberi dua manfaat iaitu membantu rakyat sambil memperkukuh ekonomi negara.

Beliau menyifatkan keputusan itu adalah satu penyelesaian terbaik untuk masa depan negara dan berita yang amat menggembirakan seluruh rakyat.

“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, amat luar biasa apabila kita masih dapat menikmati harga petrol RON95 bersubsidi yang diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99.

“Lebih membanggakan adalah cara pelaksanaannya. Daripada hanya tertumpu kepada kumpulan pendapatan tertentu pada awalnya kini diperluas kepada semua yang memiliki kad pengenalan serta lesen memandu yang sah dengan had sehingga 300 liter,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan hari ini membuat pengumuman tersebut dilaksana pada hujung bulan ini melalui skim subsidi bersasar BUDI95.

Semua warganegara dengan lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi, menggunakan MyKad untuk pengesahan di stesen minyak.

Setiap individu dibenarkan membeli sehingga 300 liter sebulan manakala bukan warganegara, harga tanpa subsidi adalah sekitar RM2.60 seliter.

Peralihan kepada sistem subsidi bersasar petrol RON95 atau Budi Madani RON95 (BUDI95) adalah untuk manfaat rakyat.

Mengulas lanjut, Jalex Lee berkata, dasar itu bukan sahaja meringankan beban rakyat malah memperkenalkan reformasi ke arah tadbir urus yang lebih baik.

Apa yang dilakukan itu, katanya, menunjukkan semangat sebuah Kerajaan Madani iaitu kerajaan yang mendengar, menyesuaikan serta menambah baik dasar demi kesejahteraan rakyat.

“Berkali-kali PMX dan kerajaan menunjukkan kesediaan untuk memperhalusi inisiatif demi memberi manfaat yang lebih menyeluruh kepada rakyat Malaysia.

“Diharapkan rekod sebegini mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast