Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri Berama Warga JPM Bagi Bulan September 2025, di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2025

PUTRAJAYA – Malaysia muncul satu-satunya negara di dunia yang berani menurun harga petrol kepada rakyatnya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dapat dilaksanakan hasil daripada tadbir urus yang baik walaupun kerajaan mewarisi beban hutang yang besar daripada pentadbiran terdahulu.

“Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, tatkala dunia berdepan suasana ekonomi global yang tidak menentu.

“Langkah ini adalah penghargaan tertinggi buat seluruh rakyat Malaysia yang terus gigih bekerja, berusaha dan berkongsi tekad bersama Kerajaan Madani dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara. Kejayaan kita hari ini adalah hasil kekuatan rakyat yang tidak pernah mengalah,” katanya.

Ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Jabatan di Perdana Menteri (JPM) bagi September 2025, beliau mengumumkan berita gembira, bermula 30 September ini, seluruh rakyat Malaysia akan menikmati harga baharu RON95 pada RM1.99 seliter dengan hanya menggunakan MyKad di kaunter dan pam atau menerusi aplikasi stesen minyak.

Manfaat itu akan dinikmati lebih awal oleh anggota polis dan tentera mulai 27 September ini serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah sehari kemudian.

Kerajaan akan melaksanakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) di mana menerusi inisiatif ini, setiap rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter subsidi petrol RON95.

Seiring dengan pelaksanaan tersebut, harga RON95 turut diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.

Melalui BUDI95, semua warganegara Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan, dengan lesen memandu yang sah dan aktif, akan secara automatik menikmati manfaat ini.

Usaha ini bertujuan memastikan subsidi diagihkan secara lebih adil kepada rakyat yang layak, di samping mengelakkan sebarang bentuk ketirisan.

Bagi menjayakan pelaksanaan ini, penggunaan MyKad dan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjadi asas pengesahan agar hanya warganegara yang memiliki lesen memandu sah menerima manfaat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast