Kemalangan antara Perodua Bezza dan Toyota Vios yang mengakibatkan dua maut di Jalan Kulai-Kota Tinggi, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Hilang kawalan sebelum masuk laluan bertentangan menjadi punca kemalangan antara Perodua Bezza dan Toyota Vios yang mengakibatkan dua maut di Kilometer 26.0 Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan pada pukul 8 pagi itu berlaku semasa Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 47 tahun datang dari arah Kluang menghala ke Kota Tinggi.

“Toyota Vios berkenaan kemudian masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Bezza dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun.

“Dalam kemalangan tersebut kedua-dua pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan tersebut mengorbankan pengurus pasar raya, Mohd Fakhrurazi Muda yang memandu Perodua Bezza dan guru sekolah tahfiz, Yuliana Sahir yang memandu Toyota Vios.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast