PUTRAJAYA – Malaysia International Halal Research & Education Conference 2025 (MIHREC 2025) melabuhkan tirainya dengan penyerahan Resolusi Strategik Halal kepada Kerajaan Malaysia dan The Standards and Metrology Institute for Islamic Countries (SMIIC), sekali gus memperkukuh peranan negara sebagai pusat rujukan halal global.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, MIHREC 2025 memperkukuh tekad kolektif untuk memacu industri halal ke masa depan yang berasaskan inovasi, tanggungjawab dan kesejahteraan global.

“Penyerahan Resolusi MIHREC 2025 ini membuktikan bagaimana idea serta komitmen bersama dapat diterjemahkan menjadi panduan tindakan untuk pemegang taruh di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Malaysia bersama rakan strategik antarabangsa kini bersedia memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang bagi memperkasakan ekosistem halal global.
“UPM melalui Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) akan terus memacu penyelidikan dan inovasi yang memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi juga keterjaminan makanan dan kesejahteraan masyarakat sejagat,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan hari ini.
Tambah Ahmad Farhan, MIHREC 2025 turut menyediakan peluang penerbitan kertas kerja terpilih di jurnal terindeks di samping menjadi platform jaringan kerjasama antara akademia dan industri.
“Dengan sasaran eksport halal mencecah RM100 bilion menjelang 2035 seperti yang termaktub di dalam dokumen RMK13, resolusi ini diyakini akan menjadi pemangkin utama untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal global berteraskan integriti, inovasi teknologi dan kesejahteraan Masyaraka,” katanya.
Bertemakan Driving Global Halal Innovation Towards Responsible Technology, Societal Wellbeing and Regulatory Compliance, MIHREC 2025 menghimpunkan lebih 200 peserta termasuk penyelidik, ahli akademik, pemain industri dan penggubal dasar dari dalam serta luar negara.
Persidangan dua hari itu berlangsung di The Everly Putrajaya Hotel sempena sambutan 20 tahun IPPH sebagai institut penyelidikan halal terawal di Malaysia, selain menjadi sebahagian daripada Global Halal Summit (GHaS) 2025 yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Resolusi yang dibentangkan merupakan sintesis pertama seumpamanya hasil gabungan kajian literatur sistematik, tinjauan strategik serta perbincangan kumpulan fokus bersama pemegang taruh utama. – MalaysiaGazette
















