Menteri Perladangan dan Komoditi memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas majlis perasmian Hari Tanah Negara 2025 di Putrajaya. Foto Hari Anggara, 22 SEPTEMBER 2025.

 

 

PUTRAJAYA – Pentadbir tanah perlu peka terhadap cabaran pengurusan tanah dalam jangka panjang kerana bukan sekadar berkaitan hak milik atau sempadan, malah melibatkan status tanah pada masa depan.

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tanah merupakan aset strategik negara yang boleh mencetuskam pelbagai isu pada masa akan datang.

“Kalau dulu kita boleh mengambil mudah soal-soal tanah, hari ini negara telah bergerak ke hadapan. Kita kena lebih fokus dan ambil tahu soal-soal yang tidak pernah kita lalui sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Tanah Negara 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Menurut Johari, pengurusan tanah yang lemah boleh mencetuskan sentimen dalam kalangan masyarakat, malah lebih buruk jika dipolitikkan pihak tertentu.

Beliau memberi contoh pembangunan semula flat PKNS di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang mencetuskan perbalahan besar kerana wujud dua kumpulan penduduk – satu menyokong dan satu lagi menolak pembangunan tersebut.

“Apabila persetujuan tidak dapat dicapai, isu ini dimanipulasi dengan sentimen politik hingga memberi gambaran seolah-olah berlaku rusuhan yang memerlukan campur tangan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU),” jelasnya.

Johari turut menegaskan tanah kerajaan yang tidak diurus dengan baik berisiko diceroboh, sekali gus menimbulkan masalah apabila pembangunan ingin dijalankan pada masa hadapan.

“Kadang-kadang ada tanah strategik tetapi kita tidak bersedia untuk membangunkannya kerana kekangan peruntukan atau agensi pelaksana belum bersedia.

“Apabila berlaku pencerobohan dan mereka menetap puluhan tahun, isu politik pula akan timbul bila pembangunan hendak dimulakan,” katanya.

Sehubungan itu, Johari berpandangan semua tanah di negara ini perlu didefinisikan dan digazetkan dengan jelas supaya tidak lagi menjadi ruang pertikaian atau dimanipulasi pihak berkepentingan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast