Mohd Jafni melihat pelan tindakan PBT seluruh negeri Johor pada Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) di Persada, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Johor memperuntukkan RM56 juta untuk pembangunan Bandar Pintar di seluruh negeri Johor tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, peruntukkan itu meliputi infrastruktur digital, keselamatan, mobiliti pintar, kemudahan komuniti dan peningkatan kualiti perkhidmatan awam.

“Ini sekali gus membantu kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mencapai indikator yang ditetapkan dalam sasaran tahap yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) di Pusat Konvensyen Antarabangsa di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PLANMalaysia), Datuk Dr Alias Rameli.

Mohd Jafni berkata, pada 2023 dan 2024, Johor memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan berkenaan yang jelas menunjukkan negeri ini serius dalam melaksanakan transformasi bandar, bukan sekadar menjadikannya retorik atas kertas.

Katanya, dengan dasar yang jelas dan pelaksanaan berfasa, pembangunan itu akan memudahkan kehidupan rakyat melibatkan jalan raya lebih teratur, perkhidmatan PBT lebih efisien sehingga kepada peningkatan tahap keselamatan di kawasan kejiranan.

“Apabila kita berbicara tentang bandar pintar, ia bukan semata mata tentang penggunaan teknologi canggih. Ia adalah tentang membina ekosistem kehidupan yang lebih baik, lebih teratur dan lebih berdaya tahan.

“Teknologi hanyalah alat tetapi matlamat akhirnya ialah kesejahteraan rakyat Johor. Johor tidak mahu membangunkan bandar pintar yang eksklusif untuk segelintir elit sahaja,” ujarnya.

Johor katanya, mahu membina bandar pintar inklusif yang dapat dirasai semua lapisan masyarakat, bermula dari kanak-kanak di bangku sekolah hingga warga emas di penghujung usia.

Menurut Mohd Jafni, Pusat Aduan Bersepadu di bawah Bandar Pintar Johor juga bakal dilancarkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada November ini.

Jelasnya, Pusat Aduan Bersepadu yang diakses menerusi aplikasi dalam telefon pintar boleh membuat aduan terus kepada PBT dengan sifat komunikasi dua hala.

“Apabila ada aduan berkaitan PBT, pengguna boleh buka aplikasi, membuat aduan dan memuat naik gambar. Sistem akan kenal pasti lokasi dan menghantar aduan kepada pegawai bertugas.

“Pegawai bertugas akan selesaikan masalah dan gambar akan dihantar kepada pengadu untuk pemberitahuan aduan telah diselesaikan,” katanya.

Kata Mohd Jafni lagi, konsep Bandar Pintar bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan mendesak bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta daya saing ekonomi negeri khususnya dapat direalisasikan.

Pihaknya menyasarkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapat penarafan bandar pintar Tahap 3 pada tahun ini.

Sementara Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) memperoleh penarafan Tahap Dua.

Sementara Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Majlis Perbandaran Muar (MPM), Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Majlis Daerah Mersing (MDM) dan Majlis Daerah Labis (MDL) disasarkan mendapat penarafan Tahap Satu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast