Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri Berama Warga JPM Bagi Bulan September 2025, di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2025

PUTRAJAYA –  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini sekali gus menunaikan janji Kerajaan Madani untuk meringankan beban rakyat.

Bagaimanapun beliau menjelaskan warga polis dan tentera boleh nikmati harga rendah itu pada 27 September ini dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sehari kemudian bagi mengelak kesesakan sistem.

Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara, seramai 16 juta rakyat akan menikmati faedah subsidi RON95 tanpa mengambil kira tahap pendapatan sebagai penghargaan kepada semua rakyat.

“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025.

“Saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

“Mulai 30 September, bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi kerana ikut perseorangan, bermula 30 September pada harga RM2.60,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Jabatan di Perdana Menteri (JPM) bagi September 2025 di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, melalui penyasaran subsidi RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) itu, tiada pendaftaran diperlu seperti  Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100.

Katanya, orang ramai hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi iaitu hampir serupa dengan proses transaksi semasa dengan hanya menambah satu langkah pengesahan MyKad dan diikuti proses biasa untuk membayar .

“Turut disediakan pembaca MyKad di dalam kedai dan juga di pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan.

“Saya dinasihatkan semua rakyat agar semak cip MyKad supaya berfungsi dan lesen memandu adalah sah.

“Untuk mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti TouchNGo dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel supaya tidak memerlukan MyKad setiap transaksi.

“Semua rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter tetapi pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon untuk nilai yang lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast