JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyarankan kuota 300 liter subsidi bersasar bagi setiap warganegara dikaji secara berkala bagi memastikannya relevan dengan keperluan semasa.
Ketuanya, Faezuddin Puad berkata, ia termasuk mengambil kira faktor seperti inflasi dan kos sara hidup yang meningkat.
“Kajian ini penting supaya sistem subsidi bersasar tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan harga baharu RON95 yang akan berkuat kuasa mulai 30 September 2025 melalui skim subsidi bersasar BUDI95.
Semua warganegara dengan lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi, menggunakan MyKad untuk pengesahan di stesen minyak.
Setiap individu dibenarkan membeli sehingga 300 liter sebulan manakala bukan warganegara, harga tanpa subsidi adalah sekitar RM2.60 seliter.
Peralihan kepada sistem subsidi bersasar petrol RON95 atau Budi Madani RON95 (BUDI95) adalah untuk manfaat rakyat.
Dalam pada itu, Faezuddin yang juga Ketua PKR Cabang Pulai berkata, AMK Johor menyambut baik dan menyokong penuh langkah Kerajaan Madani melaksanakan penyelarasan subsidi petrol RON95.
Tindakan itu, katanya, merupakan langkah progresif untuk memastikan kewangan negara digunakan dengan lebih cekap dan adil.
Menurutnya, penyelarasan subsidi itu penting bagi mengurangkan ketirisan yang selama ini banyak dinikmati warga asing.
“Dengan beralih kepada sistem subsidi bersasar, kewangan kerajaan yang dijimatkan dapat disalurkan semula kepada program-program kebajikan dan pembangunan yang lebih memerlukan, seperti bantuan tunai langsung, menaik taraf sistem pengangkutan awam, fasiliti kesihatan dan pendidikan negara,” katanya.
AMK Johor yakin penyelarasan itu akan memberi impak positif dalam jangka panjang kepada ekonomi negara.
Kerajaan Madani telah membuktikan komitmen menguruskan kewangan negara dengan telus dan berhemat demi kesejahteraan seluruh rakyat, katanya.- MalaysiaGazette
















