Dr Azman Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr. Azman Ibrahim mendakwa sikap angkuh UMNO menyebabkan cita-cita untuk menyatukan tiga parti utama Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak berlaku.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabil itu, menjelang PRU-15 hingga ke saat-saat akhir, Pas masih berusaha untuk menyatukan suara Melayu dan Islam melalui penyatuan tiga parti Melayu terbesar iatu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar tidak bertembung sesama sendiri yang akan merugikan orang Melayu.

Namun, dakwa beliau, UMNO ketika itu berkeras mahu menjadi `abang besar’ sehinggalah pada Oktober 2022 yang mana UMNO meletakkan syarat kepada Pas sama ada memilih parti itu atau Bersatu.

Ujarnya, UMNO ketika itu juga telah menyiapkan pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas dengan meninggalkan Bersatu.

“Dalam masa yang sama ketika itu telah wujud PN (Perikatan Nasional). Apabila telah wujud persepakatan dalam PN bersama Bersatu dan parti-parti lain, maka Pas tak akan mengkhianati persepakatan yang sedia ada demi untuk memenuhi syarat UMNO,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Tambah beliau, seperti diketahui, PRU-15 menyaksikan UMNO menjadi parti Melayu yang memperolehi bilangan kerusi paling sedikit berbanding Pas dan Bersatu.

Katanya, apabila tiada parti yang berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Perak dan Pahang pasca PRU-15, Pas sebagai parti yang memiliki bilangan kerusi dominan di kedua-dua negeri itu mengajak UMNO untuk menubuhkan kerajaan bersama.

Namun, jelas beliau, UMNO sekali lagi menolak dan lebih memilih bersama Pakatan Harapan (PH).

“Tiba-tiba muncul seorang hamba Allah yang mengamalkan politik nomad, berpindah merata-rata demi untuk nak dapat kerusi tapi tetap kalah.

“Dia yang baru tersedar dari mimpi berkata, Pas tinggalkan MN bersama UMNO dan pilih Bersatu kerana nak dapatkan duit dari Bersatu!” katanya.

Sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, mendedahkan keseluruhan kos pilihan raya PN pada PRU-15 ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu.

Ekoran kenyataan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa pihaknya tidak hairan dengan tindakan Pas yang sanggup meninggalkan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) semata-mata untuk bergabung bersama Bersatu menubuhkan PN. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast