KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menegaskan peralihan kepada BUDI MADANI RON95 (BUDI95) telah direka dan diteliti agar proses ini tidak menyulitkan rakyat, malah memberi manfaat kepada penerima.
Jelasnya, siling kelayakan sistem subsidi RON95 sebanyak 300 liter sebulan itu ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.
“Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta Proton Saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Tambah MOF, siling kelayakan yang tinggi itu juga menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab, sama ada penyeludup sempadan mahupun syarikat komersial berskala besar.
Menurut MOF, bagi melindungi kesejahteraan rakyat, kerajaan akan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi, iaitu sekitar RM2.60 seliter.
Dengan pemansuhan subsidi pukal katanya, kerajaan mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
Penjimatan itu akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Bagi memudahkan rakyat menyemak profil kelayakan serta baki penggunaan kelayakan bulanan, Kerajaan telah menyediakan portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 9.00 pagi hari Khamis, 25 September 2025.
Pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal tersebut.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di nombor 1300-88-9595, juga mulai 9.00 pagi hari Khamis, 25 September 2025.
















