KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mempersoalkan tindakan dua darjat pihak berkuasa dalam menangani isu perobohan rumah di Kampung Sungai Baru dan Jinjang Selatan Tambahan.
Beliau menegaskan, tindakan tidak konsisten itu menimbulkan persoalan mengenai prinsip keadilan apabila penduduk Kampung Sungai Baru yang merupakan pemilik tanah berdepan perobohan manakala rumah di Jinjang Selatan Tambahan yang dikatakan didirikan di tanah milik kerajaan masih kekal.
“Kenapa rumah di Kampung Sungai Baru dirobohkan? Sedangkan di Jinjang Selatan Tambahan tidak dirobohkan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Akmal merujuk kepada laporan media mengenai luahan penduduk, peniaga serta pengusaha kilang di Jinjang Selatan Tambahan yang menarik nafas lega selepas dimaklumkan tiada tindakan meroboh kediaman dilakukan hari ini meskipun terdapat arahan mahkamah supaya mereka berpindah.
Menurut beliau, isu itu lebih membingungkan kerana status pemilikan kedua-dua kawasan jelas berbeza namun layanan yang diterima penduduk adalah seakan-akan berlawanan dengan logik keadilan.
“Kampung Sungai Baru penduduk tuan tanah sendiri sedangkan di Jinjang Selatan hanyalah dikatakan ‘menyewa’ di tanah tersebut. Kenapa ada dua tindakan yang berbeza dari pihak penguasa? Seolah-olah ada tindakan dua darjat?” soalnya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan, rakyat kini memerhati dan menilai bagaimana agensi kerajaan menguruskan isu pembangunan serta pengambilan tanah yang seharusnya berlandaskan prinsip keadilan dan bukan tekanan pihak tertentu.
“Saya desak pihak berkuasa untuk menjawab persoalan ini!” katanya sambil menambah kegagalan memberikan penjelasan hanya akan menimbulkan lebih banyak keraguan dalam kalangan rakyat.
Beliau turut menegaskan Pemuda UMNO akan terus membela suara rakyat yang terkesan dengan keputusan yang dilihat berat sebelah dan tidak konsisten.
Dr Akmal pada masa sama menyeru kerajaan supaya menilai semula dasar berkaitan perumahan dan pembangunan semula bandar agar ia benar-benar berpaksikan keadilan sosial tanpa mengorbankan hak rakyat. – MalaysiaGazette
















