Amir Hamzah pada Majlis Perasmian Jelajah Mega e-Invois 2025 (Siri 2) Peringkat Nasional di Menara HASiL Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Semua pembayar cukai diingatkan supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk melaksanakan e-Invois kerana persediaan awal amat penting bagi memastikan peralihan kepada sistem percukaian digital dapat dijalankan dengan lancar.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah proaktif ini bukan sahaja membantu perniagaan dan organisasi menghadapi cabaran peralihan, malah memberi peluang kepada mereka untuk memahami sistem baru dengan lebih jelas.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sentiasa bersedia untuk berbincang dan menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul bagi memastikan pembayar cukai mendapat panduan sewajarnya.

“Sekiranya terdapat cabaran atau perkara yang memerlukan perbincangan lanjut, pihak LHDN sentiasa terbuka untuk berbincang bagi memastikan isu dan cabaran yang dihadapi pembayar cukai dapat diatasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Mega e-Invois 2025 (Siri 2) Peringkat Nasional di Menara HASiL, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Amir Hamzah turut menggalakkan penglibatan peserta industri, persatuan perdagangan, badan profesional, dan perniagaan dalam memberi cadangan membina untuk meningkatkan pelaksanaan e-Invois demi manfaat rakyat secara menyeluruh.

“Kita berharap program kesedaran dan pendidikan berkaitan e-Invois yang dilaksanakan LHDN dapat dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menjelang pelaksanaan fasa baharu bermula 2026.

“Selain itu, kerajaan juga bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan e-Invois mandatori dengan memperkenalkan dua fasa baharu.

“Fasa keempat akan melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta hingga RM5 juta mulai 1 Januari 2026, manakala fasa kelima untuk perniagaan dengan jualan tahunan sehingga RM1 juta bermula 1 Julai 2026.

“Nilai ambang pengecualian juga dinaikkan daripada bawah RM150,000 kepada bawah RM500,000 bagi memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil,” katanya.

Setakat ini, lebih 102,800 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois dengan jumlah pengeluaran melebihi 563 juta, menandakan sambutan positif terhadap inisiatif digitalisasi percukaian.

Pelaksanaan e-Invois ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan selaras Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bagi memperkukuh infrastruktur digital serta mempercepat pendigitalan operasi perniagaan dan pentadbiran percukaian di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast