NIBONG TEBAL – Selepas hampir 10 jam operasi, kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini berjaya dipadamkan sepenuhnya petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kebakaran melibatkan longgokan sampah di kawasan Fasa 3 itu dikesan pukul 6.39 pagi dengan keluasan anggaran 0.6 ekar bersamaan tiga peratus daripada keseluruhan kawasan pelupusan berkeluasan 25.96 ekar.
Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal tiba di lokasi pada jam 6.56 pagi bersama pasukan bantuan dari BBP Sungai Bakap, Bandar Perda, Bayan Baru dan Penanti.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.30 pagi namun api masih ada di bahagian bawah timbunan. Bagi memastikan operasi lebih teratur, Pos Kawalan Bomba (PKB) diwujudkan di lokasi bersama pengurusan ICS di peringkat zon (Level II).
“Pemadaman dibahagikan kepada dua sektor menggunakan sumber air dari tangki jentera serta water tanker secara relay pumping kerana tiada pili bomba berhampiran.
“Tindakan fire break turut dilakukan dengan bantuan empat unit excavator untuk kerja pengorekkan dan pengasingan sampah,” katanya hari ini.
Tambah beliau, operasi turut dijalankan dengan kaedah direct attack dan total flooding sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 4.05 petang.
“Kerja-kerja overhaul selesai dan operasi ditamatkan pukul 5 petang,” katanya. – MalaysiaGazette















