Amir Hamzah (tengah) menghadiri Sesi Libat Urus RMK13 2026-2030 Zon Utara di Pusat Konvensyen SPICE Arena, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Kerajaan memberi jaminan usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah akan menjadi tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diluluskan di Parlimen, baru-baru ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu akan dilaksanakan melalui agihan peruntukan pembangunan (DE) yang lebih seimbang di seluruh negara selain memperkenalkan insentif baharu bagi menarik pelaburan asing.

Beliau yang memangku jawatan Menteri Ekonomi menegaskan, pemberian insentif itu khusus untuk pelabur yang meneroka sektor penting di kawasan kurang membangun.

“Mereka yang meletakkan pelaburan di sektor-sektor yang penting di wilayah-wilayah yang kurang pembangunan akan diberikan lebih insentif.

“Ini akan turut merapatkan jurang (pembangunan) yang ada di antara wilayah-wilayah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus RMK13 2026-2030 Zon Utara di Pusat Konvensyen SPICE Arena di sini, hari ini.

Amir Hamzah.

Mengulas komitmen kewangan, beliau berkata, kerajaan akan menyalurkan pelaburan RM611 bilion sepanjang tempoh RMK13 meliputi RM430 bilion DE, selain sokongan pembiayaan GLC dan GLIC berjumlah RM120 bilion serta RM61 bilion menerusi kaedah perkongsian awam swasta (PPP).

“Tumpuan pengagihan DE akan terus diberikan kepada enam negeri yang kurang membangun iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Amir Hamzah menjelaskan, RMK13 dipacu atas empat tonggak iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi, memperkukuh mobiliti sosial, mempercepat agenda reformasi perkhidmatan awam serta mempertingkat kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Tonggak ini disokong oleh 122 strategi, lebih daripada 600 inisiatif dan penetapan 162 petunjuk prestasi utama (KPI) nasional bagi memastikan dasar yang dilaksanakan tidak hanya dilihat dari satu dimensi, tetapi menekankan hubung kait pelbagai aspek dalam pembangunan.

“Kita tidak sekadar mahu mencapai status negara berpendapatan tinggi, malah mahu rakyat menikmati kemudahan dan kehidupan selesa serta mendapat peluang yang saksama untuk terus melangkah maju selari dengan hasrat menaikkan martabat darjat dan harakat rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast