BUKIT MERTAJAM – Seramai 25 pesakit buah pinggang kini memerlukan sumbangan berjumlah RM137,500 bagi membina fistula, iaitu saluran darah kekal di lengan untuk melancarkan proses dialisis mereka.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, kesemua pesakit tersebut diberi keutamaan untuk menjalani pembedahan berkenaan selepas mengambil kira risiko jangkitan kuman serta komplikasi lain.
Katanya, pembedahan itu perlu dilakukan secara persendirian kerana tempoh menunggu di hospital kerajaan terlalu lama berikutan jumlah pesakit yang ramai.
“Ada dalam kalangan mereka yang mengadu tidak mampu lagi menunggu kerana saluran darah dialisis sudah tidak dapat bertahan.
“Sebahagian pesakit telah menjalani rawatan itu selama puluhan tahun, manakala ada juga yang baharu mengalami kegagalan buah pinggang dan perlu segera memulakan dialisis.
“Bagi menyambung hayat, mereka perlu menjalani hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu, dengan setiap sesi mengambil masa kira-kira empat jam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, bagi memastikan proses dialisis berjalan lancar, pesakit memerlukan satu saluran darah yang stabil dan selamat, iaitu fistula arteriovenous (AVF).
Bagaimanapun, katanya, kos pembedahan yang mencecah ribuan ringgit menjadi beban kepada pesakit dan keluarga, tambahan pula apabila ada antara mereka sudah lama menganggur serta berpendapatan rendah.
“Kita menerima senarai pesakit berkenaan daripada pihak hospital yang memerlukan bantuan orang ramai untuk menjalani pembedahan fistula.
“Justeru, satu kempen kutipan dana dilancarkan untuk membantu mereka menampung kos pembedahan itu dengan jumlah dana yang akan dikumpulkan sebanyak RM137,500.
“Setiap sumbangan adalah sebuah jalan harapan buat mereka untuk terus berpeluang menjalani hidup lebih baik,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3193433435).
Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi laman web rasmi www.onehopecharity.org.
Bagi pertanyaan lanjut, sila hubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette















