KUALA LUMPUR – Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan digubal supaya kanak-kanak perempuan bawah umur 16 tahun tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memberikan persetujuan kepada sebarang bentuk hubungan seksual.
Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata, walaupun wujud keadaan dilihat ‘suka sama suka’, undang-undang tetap menganggap kanak-kanak perempuan sebagai mangsa.
“Rasionalnya kanak-kanak perempuan masih belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi, malah mudah terdedah kepada manipulasi, pujukan atau eksploitasi oleh pihak lain.
“Kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa perlu dilindungi oleh undang-undang bagi mengelakkan trauma berganda dan memastikan mereka tidak dipersalahkan atau dihukum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahad lalu, media melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mencadangkan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks ‘suka sama suka’ dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Yusoff berkata, ia wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di Kelantan adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
Menurut OCC Suhakam, hukuman dalam kes ini hanya dikenakan kepada pihak lelaki yang melakukan perbuatan tersebut, sama ada lelaki dewasa atau kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.
“Bagi pelaku kanak-kanak lelaki, undang-undang membolehkan mereka didakwa, tetapi tertakluk kepada prinsip khas keadilan kanak-kanak.
“Menurut Seksyen 91 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], mahkamah akan mengenakan perintah untuk kanak-kanak yang didapati bersalah seperti penempatan di sekolah diluluskan (Sekolah Tunas Bakti) dan Sekolah Henry Gurney,” katanya.
Selain itu, katanya, pendekatan ini menyeimbangkan prinsip akauntabiliti dengan memberikan peluang kedua kepada kanak-kanak agar ia tidak dihukum seperti pesalah dewasa, tetapi tetap bertanggungjawab dan diberikan pemulihan.
“OCC menegaskan bahawa undang-undang rogol statutori bukan untuk menghukum kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa, tetapi untuk melindungi mereka daripada sebarang bentuk eksploitasi dan diskriminasi.
“Undang-undang ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap kepentingan terbaik kanak-kanak sebagaimana yang digariskan dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak 1989 (CRC) dan Akta 611.
OCC turut menyeru semua pihak, khususnya agensi penguat kuasa, pendidik dan masyarakat untuk memahami dan mempertahankan prinsip ini.
“Melindungi kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama dan setiap mereka berhak mendapat perlindungan penuh daripada eksploitasi serta peluang untuk membesar dengan selamat dan sihat. – MalaysiaGazette
















