Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diiringi pegawai penjara hadir bagi bagi mendengar rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down ketika di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 07 MAC 2024. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam mewakili Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali terkejut dengan tindakan Penjara Kajang memindahkan wanita itu ke Penjara Sungai Udang, Melaka secara tiba-tiba, semalam.

Peguam Nur Aminatul Mardhiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun, 33, berkata, pihaknya tidak berpuas hati kerana pemindahan itu dibuat tanpa sebarang permohonan rasmi daripada Siti Bainun sendiri, peguam atau ahli keluarga.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diiringi pegawai penjara hadir bagi bagi mendengar rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down ketika di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 07 MAC 2024. (GAMBAR FAIL)

“Pihak kami telah dihubungi pukul 9.50 pagi semalam oleh seorang individu (identiti dirahsiakan) dan memaklumkan anak guam kami Siti Bainun Ahd Razali secara tiba-tiba dibawa ke pejabat RO Penjara Kajang dan menjalani pemeriksaan ‘Fit To Travel’, sehari sebelumnya.

“Lanjutan dari itu, pada hari sama (23 September) anak guam kami telah dipindahkan ke penjara Sungai Udang, Melaka tanpa permohonan dari mana-mana pihak termasuk keluarga, peguam mahupun anak guam sendiri.

”Keluarga anak guam semuanya berada di Kuala Lumpur dan Selangor. Selain rawatan luar, pemantauan masalah kesihatan anak guam kami juga dijalankan di Hospital Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, selepas mendapat pemakluman tersebut, pihaknya telah menyemak dengan Penjara Kajang dan hanya diberikan surat tanpa sebarang alasan atau kenyataan sama ada pemindahan itu telah melalui proses di bawah peruntukan Akta Penjara.

Menurut surat bertarikh 22 September lalu (kelmarin) yang dikeluarkan oleh Penjara Wanita Kajang, Siti Bainun dipindahkan ke Penjara Sungai Udang pada 23 September dan mahukan peguamnya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak penjara berhubung perpindahan itu.

Menurut kenyataan peguam, pemindahan banduan dari satu penjara ke penjara lain di seluruh negara memang dibenarkan di bawah Akta Penjara 1995 dan peraturan-peraturan berkaitan dan pemindahan biasanya diputuskan oleh Jabatan Penjara Malaysia atau dengan kelulusan Menteri Dalam Negeri.

“Tapi dalam kes ini kami tidak pernah dimaklumkan berkaitan apa-apa permohonan yang dibuat bagi maksud pemindahan ini.

“Sehingga kenyataan media ini di keluarkan kami tidak mempunyai pengetahuan atas sebab dan alasan mengapa anak guam kami ditempatkan di penjara yang menyukarkan untuk keluarga melawat serta jauh dari hospital tempat dia menerima rawatan luar.

“Kami sedang dalam proses untuk memfailkan aduan rasmi dan seterusnya membuat semakan atas perkara ini sekiranya penjara gagal memberikan penjelasan dan melanggar peruntukan di bawah Akta Penjara atau mana-mana undang-undang berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, Siti Bainun menjalani hukuman di Penjara Kajang apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun atas dua kesalahan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella empat tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah selepas menolak rayuan akhir Siti Bainun,33, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast