MELAKA – “Waktu cuba menyelamatkan kanak-kanak lelaki itu, saya sendiri hampir lemas tapi mujurlah rakan sempat mencapai saya bersama budak berkenaan kerana ombak ketika itu memang sangat kuat”.
Itu diceritakan Muhammad Haikal Hakimi Abdullah, 18, saksi kejadian kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dikhuatiri lemas manakala dua lagi rakan sebayanya terselamat ketika sedang mandi manda di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka kira-kira 7 malam tadi.
Menurut remaja itu, ketika kejadian dia sedang membeli cendol bersama rakannya sebelum seorang wanita berlari ke arahnya meminta bantuan kerana terlihat mangsa sedang terkapai-kapai di laut.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari ke pantai dan masa tu saya nampak tiga orang terkapai-kapai di tengah laut. Dua sudah jauh dibawa arus, seorang lagi hanya nampak tangannya sahaja timbul dan saya cuba menyelamatkannya sehingga saya sendiri hampir lemas sebelum diselamatkan rakan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi hari ini.
Haikal memberitahu, keadaan air pasang dan arus deras menyebabkan suasana menjadi panik namun lega kerana seorang lagi berjaya diselamatkan seorang lelaki lain.
“Malangnya, seorang lagi mangsa gagal ditemui kerana hanya kelihatan tangannya sebelum hilang dibawa arus,” katanya sebak.
Sementara itu, setakat pukul 9.15 malam ini, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan oleh pasukan polis, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan nelayan. –
Turut hadir di lokasi Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Parit dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Shahrom Laji – MalaysiaGazette
















