KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah membuka kertas siasatan berhubung pendedahan video terbaharu oleh ahli perniagaan, Albert Tei berhubung isu rasuah di negeri itu.
Pendedahan video terbaharu oleh Albert Tei seperti yang disiarkan oleh Malaysiakini hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan pihakya di Sabah sememangnya telah membuka kertas siasatan dan siasatan mengenai isu tersebut sedang dijalankan.
“Sehubungan dengan itu, saya telah mengarahkan SPRM Sabah untuk melanjutkan siasatan berdasarkan maklumat terbaharu yang telah didedahkan.
“Saya juga telah mengarahkan agar kedua-dua individu yang terlibat dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Azam, SPRM akan berusaha untuk menyelesaikan siasatan secepat mungkin dengan penuh teliti dan berintegriti.
“Saya menyeru agar semua pihak dapat bersabar dan memberikan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional.
“Sebarang spekulasi yang tidak berasas hanya akan mengganggu proses siasatan dan menjejaskan kepercayaan awam terhadap usaha pencegahan rasuah di negara ini,” ujarnya.
SPRM, katanya, komited untuk menjalankan tugas secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang demi memastikan keadilan ditegakkan. – MalaysiaGazette















