Azam Baki

KUALA LUMPUR – Penahanan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang ditempatkan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh polis sebagai sesuatu yang langsung tidak dijangka, kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Azam yang mengesahkan suspek ditahan selepas seminggu bertugas berkata: Saya sahkan yang DPP ini baru melaporkan diri, tak silap saya dalam minggu lepas ke SPRM sebagai attachment atau secondant officer daripada AGC (Jabatan Peguam Negara). Ini satu perkara yang tidak jangka,” katanya.

Azam menjawab pertanyaan wartawan berhubung laporan media bahawa TPR suruhanjaya itu ditahan di kediamannya semalam kerana disyaki memiliki dadah.

Menurut Azam, kes tersebut kini di bawah siasatan polis dan SPRM menyerahkan sepenuhnya urusan itu untuk tindakan lanjut.

Ini adalah kes yang disiasat oleh pihak polis dan kita biarkan polis buat siasatan dan saya juga ada bercakap dengan Peguam Negara kerana beliau juga adalah daripada Jabatan Peguam Negara dan kami berdua lepaskan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Sekiranya ada kes, polis boleh membawanya kepada mahkamah,” katanya.

Ditanya sama ada pegawai berkenaan melalui tapisan sebelum ditempatkan di SPRM, Azam menegaskan ia bukan bidang kuasa suruhanjaya itu.

Itu bukan bawah bidang kuasa kami. Beliau telah pun berkhidmat di Jabatan Peguam Negara yang saya jangka telah melalui segala tapisan. Jadi berkemungkinan ini selepas tapisan,” jelasnya.

Beliau turut menambah seperti kelaziman, seseorang penjawat awam akan menjalani ujian saringan dadah malah padanya proses itu dilakukan sebelum suspek bekerja di SPRM.

Saya jangka begitu sebab tapisan dan juga apa ini termasuk juga dipanggil drug test telah dibuat kepada semua penjawat awam, termasuk juga Timbalan Pendakwa Raya.

“Pada saya, ini adalah tindakan beliau sendiri yang mengambil dadah dan sebagainya, sekiranya ada,” katanya.

Berhubung sama ada pegawai itu akan digantung tugas, Azam berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Peguam Negara.

Itu bukan tanggungjawab saya kerana saya telah lakukan pada Peguam Negara dan kami akan berbincang,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan kebiasaan, pegawai yang berdepan kes sebegini akan direhatkan terlebih dahulu daripada menjalankan pendakwaan.

SPRM hari ini mengesahkan seorang TPR yang baharu melaporkan diri pada minggu lalu ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah.

Menurut Suruhanjaya itu, pegawai tersebut ditahan polis semalam di rumahnya dan pemeriksaan dijalankan menemui bahan terlarang disyaki dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast