BANGI – Dakwaan Malaysia sebagai lokasi pusat operasi dan pangkalan Hamas merupakan sesuatu yang mustahil dan tidak berasas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara mempunyai pasukan khas yang memantau aspek keselamatan khsusunya unit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Memang tidak ada (pangkalan Hamas). Tiada tempat untuk berlatih apatah lagi dijadikan sebagai pangkalan Hamas.
“Ini adalah tuduhan yang telah dinafikan Ketua Polis Negara, dan kita mempunyai unit pemantauan keganasan di bawah PDRM khususnya Cawangan Khas,” katanya ketika hadir membuat lawatan kerja di Universiti Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, langkah pemantauan itu merupakan prosedur biasa.
“Waktu saya jadi Menteri KDN pun memang kita lakukan pemantauan dan mustahil untuk dijadikan Malaysia sebagai pangkalan Hamas,” ujarnya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menafikan dakwaan Malaysia mempunyai pusat operasi Hamas.
Sebaliknya beliau berpendirian, sokongan dan solidariti Malaysia terhadap Palestin berkemungkinan telah disalah tafsir pihak tertentu.
Baru baru ini, bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer mendakwa Malaysia sudah lama menjadi pusat operasi Hamas.
Kenyataan kontroversi itu dibuat menerusi hantaran di laman X selain mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berminat dengan soal perdamaian.
Ia menyusul sejurus pendirian tegas Perdana Menteri terhadap kekejaman yang dilakukan Israel selain menggesa hubungan dengan Israel diputuskan ekoran kemusnahan berterusan di Gaza dan rampasan di Tebing Barat. – MalaysiaGazette
















