Seorang lelaki warga emas rentung dalam sebuah kereta di kawasan tebing Pantai Sungai Lurus, Senggarang, semalam. Foto ihsan Bomba Johor.

BATU PAHAT – Polis mengenal pasti identiti mangsa yang rentung dalam kereta di kawasan tebing Pantai Sungai Lurus, Senggarang, semalam, adalah seorang lelaki tempatan berusia 72 tahun.

Ketua Polis Daerah Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, ini berdasarkan hasil siasatan awal setakat ini namun pengesahan rasmi identiti rangka manusia itu akan disahkan melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

“Anggota bertugas dari Balai Polis Senggarang pergi ke tempat kejadian pukul 5.28 petang semalam selepas menerima maklumat kejadian daripada pihak bomba dari Rengit.

“Pihak bomba menyatakan terdapat sebuah kereta bersama seorang mangsa telah rentung terbakar di kawasan tebing Pantai Sungai Lurus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Katanya, siasatan dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Batu Pahat bersama-sama Pasukan Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dan Balai Polis Senggarang.

Siasatan awal katanya, mendapati kereta itu ditemui dalam keadaan rentung terbakar dan terdapat satu rangka manusia turut rentung terbakar di tempat duduk pemandu dalam kereta tersebut.

“Siasatan polis mengikut siasatan mati mengejut (SDR). Sehubungan itu pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar dapat tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkenaan kepada Ketua Polis Balai Senggarang, Sub Inspektor Abriza Yaakub 019-7275995 atau ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau melalui Hotline Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat 07-4343999.

Semalam tular video memaparkan sebuah kereta terbakar di tepi sebuah pantai dan terdapat seorang individu dalam kereta berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast