SEPANG – Kerajaan akan meminta bantuan negara sahabat yang berjiran di Palestin untuk membantu 34 rakyat Malaysia yang sedang menyertai pelayaran Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di Laut Mediterranean ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu dibuat memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dalam usaha memastikan keselamatan semua peserta misi terbabit.
Beliau memberi jaminan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan segala usaha akan digerakkan bagi memastikan keadaan mereka di sana dan kembali dengan selamat.
“Kita akan meminta pertolongan daripada negara-negara yang berhampiran dan menjadi sahabat kita selama ini untuk membantu sedaya mungkin yang boleh.
“Bukan sahaja 34 rakyat Malaysia yang berada di sana tetapi juga seluruh 500 ahli-ahli rombongan flotila supaya sesuatu dilakukan untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Misi GSF disertai lebih 500 sukarelawan dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat dengan menaiki 53 kapal bagi memecah kepungan rejim zionis terhadap Gaza termasuk 34 sukarelawan dari Malaysia.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di MAPIM Central Warehouse di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut memaklumkan beliau akan menghubungi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), bagi membincangkan langkah diplomatik yang boleh diambil segera.
Selain itu, beliau akan berbincang dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin mengenai kaedah terbaik untuk melibatkan kementerian itu dalam usaha bantuan dan kepulangan peserta misi ke tanah air.
“Tadi saya berbincang, bagaimana jika misi ini telah selesai untuk membawa 34 ini pulang ke negara kita dan kita akan perincikan jenis dan bentuk bantuan yang akan kita berikan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette
















