KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti cadangan untuk memasukkan buah-buahan serta sayur-sayuran dalam bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi menggalakkan pemakanan sihat dalam kalangan rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan itu wajar diberi pertimbangan serius kerana ia mampu menyokong strategi kerajaan dalam mengubah corak pemakanan rakyat Malaysia.
“Itu satu cadangan yang baik, mungkin saya akan ambil sebagai satu pandangan, satu pertimbangan… ini semua adalah strategi nudging (penggalak),” katanya dalam sidang media selepas melancarkan National Blueprint for Behavioural Insights in Health di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menegaskan, realiti semasa menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang tidak gemar makan sayur-sayuran atau buah-buahan terutama apabila diteliti mengikut faktor umur.
“Kalau kita lihat rakyat, saya boleh sebutkan fakta-faktanya bahawa ramai yang tidak makan, tidak suka sayur-sayuran, tidak suka buah-buahan mengikut umur dan sebagainya,” ujarnya.
Menurut Dr Dzulkefly, langkah untuk memasukkan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam bantuan asas bukan sahaja soal kebajikan malah strategi jangka panjang untuk meningkatkan kesedaran kesihatan masyarakat.
“Tetapi persoalannya bagaimana kita boleh menggalakkan mereka, menolak mereka secara halus supaya akhirnya lebih cenderung mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran. Jadi cadangan itu sangat baik, saya akan bawa ia untuk dipertimbangkan,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha menjadikan makanan sihat lebih mampu milik dan mudah didapati adalah sebahagian daripada strategi pendekatan halus bagi mengubah gaya hidup rakyat.
Untuk rekod, bantuan SARA hanya meliputi 14 barangan keperluan iaitu pembelian beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman dan makanan dalam tin serta ubat-ubatan.
Lebih 13 juta rakyat Malaysia telah membuat penebusan bantuan secara one off Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membeli keperluan barangan asas. – MalaysiaGazette
















