[ARKIB] Kapal Libya, Omar al-Mukhtar mula belayar untuk menyertai konvoi Global Sumud Flotilla pada 22 September 2025.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan untuk menyelaras pelaksanaan solat hajat selepas solat Jumaat esok, di semua masjid utama dan surau di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia bagi menyatakan solidariti serta memohon pertolongan daripada Allah SWT agar keselamatan para sukarelawan dan kelancaran misi Sumud Global Flotilla sentiasa dipelihara.

Menurut beliau, seperti dimaklumkan media, misi itu berdepan situasi membimbangkan apabila menghadapi pelbagai gangguan dan ancaman ketika semakin hampir dengan zon kritikal.

Katanya, ia termasuk letupan, kehadiran dron tidak dikenali dan gangguan komunikasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

“Marilah kita bersama-sama menadahkan tangan ke hadrat Allah SWT agar misi kemanusiaan ini dipermudahkan, para sukarelawan diberikan perlindungan dan kekuatan, serta doa kita menjadi sumber kekuatan kepada rakyat Palestin yang terus berjuang mempertahankan tanah air mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Na’im, beliau berharap Malaysia sentiasa diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada usaha kemanusiaan sejagat dan doa daripada seluruh rakyat menjadi sebab kejayaan misi tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa bot peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam pelayaran memasuki zon kuning ke Gaza diserang oleh dron Israel.

Insiden itu dilaporkan berlaku susulan ugutan berterusan dan penyebaran maklumat palsu Israel bagi merosakkan imej serta membahayakan nyawa lebih 500 sukarelawan awam yang membawa bantuan ke Gaza menerusi misi tersebut.

Bagaimanapun, GSF dalam kenyataan memaklumkan, misi itu tetap diteruskan walaupun selepas kapal dinaiki sukarelawan berkenaan diserang Israel menerusi beberapa taktik termasuk gangguan komunikasi.

Tambah GSF, serangan itu tidak akan menggugat misi kemanusiaan dan usaha menembusi sekatan rejim Zionis itu untuk sampai ke Gaza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast