Datuk Seri Fadillah Yusof, selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), muncul sebagai tokoh penting dalam menjulang agenda tenaga dan air negara.
Pelantikan beliau dilihat sebagai langkah strategik kerajaan untuk memastikan dua sektor kritikal ini iaitu tenaga dan air, terus terjamin, lestari dan memberi manfaat langsung kepada
rakyat.
Tenaga dan air adalah nadi pembangunan negara. Fadillah membuktikan bahawa agenda peralihan tenaga dan transformasi air bukan lagi sekadar wacana tetapi sedang diterjemah menjadi realiti demi keterjaminan dan kemampanan sumber serta dari segi aspek keselamatan dan kesejahteraan generasi kini serta masa depan.
Malaysia menerusi PETRA sudah mula memperkenalkan beberapa teknologi baharu dan mekanisme untuk mempercepat transformasi tenaga boleh baharu yang bersih dan efisien.
Antaranya seperti Smart Grid, Digitalisasi dan Penyimpanan Tenaga di mana PETRA melalui Dasar Transformasi Tenaga berhasrat meningkatkan ‘grid flexibility’ dengan pelaburan dalam smart grids, penggunaan sistem digital dan sistem penyimpanan tenaga (BESS).
Contohnya, memperkukuh grid elektrik untuk menyokong pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dengan lebih lancar.
Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) pula merupakan program yang membolehkan syarikat korporat membeli tenaga hijau terus dari penjana tenaga boleh baharu melalui grid, sebagai usaha menyokong komitmen ESG dan memperluas penggunaan tenaga bersih.
Selain itu PETRA meneruskan program Green Electricity Tariff (GET) membolehkan pengguna, khususnya sektor korporat dan industri, memilih bekalan elektrik hijau dengan tarif khusus, sekaligus memperkukuh pasaran tenaga lestari negara.
Di samping itu, inisiatif tenaga solar, biogas dan hidro mini melalui Program Solar Berskala Besar (LSS) dan Solar Atap terus diberi penekanan sebagai sebahagian daripada pelan
besar Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Semua langkah ini membuktikan Malaysia sedang bergerak ke arah pengurangan pergantungan kepada bahan api fosil, sekali gus membuka laluan ke arah ekonomi sifar karbon menjelang 2050.
Fadillah juga menekankan keperluan rakyat memahami isu tenaga secara lebih menyeluruh.
Pada 2025, beliau melancarkan Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang merupakan sebuah platform pendidikan tenaga yang dibangunkan dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Malaysia Program Office for Power Electricity Reform (MyPOWER), Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Yayasan Hijau Malaysia, Malakoff, NUR Power dan Edra Energy.
Melalui portal rasmi MELP, masyarakat kini mempunyai rujukan maklumat tenaga yang sahih dan mudah diakses, melibatkan sekolah, universiti dan komuniti. Inisiatif ini adalah langkah penting memastikan rakyat bukan sekadar pengguna, tetapi juga pemegang taruh yang berpengetahuan dalam agenda tenaga negara.
Kalau tenaga itu enjin pembangunan, air pula adalah nadinya. PETRA kini mengangkat sektor air ke tahap lebih strategik melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR2040).
AIR2040 memastikan pengurusan air negara berpandukan data, kelestarian dan kesejahteraan rakyat, sekali gus mengukuhkan konsep Integrated Water Resources Management (IWRM).
Dengan pelan ini, air tidak lagi dilihat hanya sebagai komoditi tetapi aset negara yang mesti diurus secara bijak untuk generasi kini dan masa depan.
Kepimpinan Fadillah juga terserlah di pentas antarabangsa di mana Malaysia kini menjadi suara penting dalam membentuk hala tuju tenaga dan air serantau.
Melalui penyertaan dalam China-ASEAN Expo, hubungan Malaysia–ASEAN–China diperkukuh dalam aspek teknologi hijau dan infrastruktur. Di peringkat ASEAN, Malaysia memainkan peranan dalam memacu agenda ASEAN Power Grid dan kerjasama tenaga rentas sempadan.
Pertemuan dengan rakan strategik di Timur Tengah, Jepun dan Korea Selatan pula membuka peluang pelaburan dalam sektor tenaga baharu, keselamatan nuklear dan pembangunan bandar pintar.
Malah, lawatan kerja dalam negeri ke Sabah, Sarawak, Kelantan dan Johor juga dilaksanakan untuk meninjau projek tenaga boleh baharu, kesiapan grid elektrik serta isu bekalan air di peringkat komuniti. Semua ini membuktikan Malaysia bukan sekadar
mengikuti arus global tetapi aktif membentuk hala tuju tenaga dan air di rantau ini.
Transformasi yang digerakkan melalui PETRA bukan sekadar reformasi dasar tetapi satugerakan menyeluruh yang memberi kesan jangka panjang. Dari projek tenaga boleh baharu
hingga pelan AIR2040, daripada program literasi rakyat hingga kerjasama serantau, semuanya digerakkan dengan visi yang jelas iaitu membina Malaysia yang lestari, berdaya saing dan bersiap sedia menghadapi cabaran abad ke-21.
Warisan ini adalah untuk generasi hari ini dan juga generasi akan datang sebagai sebuah negara dengan tenaga yang stabil, air yang terjamin dan kedudukan kukuh di mata dunia.
Oleh Liza Mansor Penulis adalah Pelajar Doktor Falsafah (Pengurusan Media), Universiti Utara Malaysia (UUM)
















