Tian Soon memberikan seekor anak gajah liar yang ditangkap minum susu selepas berjaya dipindahkan.

JOHOR BAHRU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor akan melaksanakan operasi besar-besaran bulan depan untuk menangkap dan memindahkan lebih banyak gajah liar ke kawasan selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, operasi itu akan memberi tumpuan di Kluang yang kini mencatatkan daerah dengan jumlah aduan kehadiran gajah liar tertinggi pada masa ini.

Pada masa sama, beliau memberitahu, dianggarkan hanya terdapat sekitar 160 ekor gajah liar di negeri ini pada masa ini.

Menurut Tian Soon, perlindungan yang sewajarnya perlu diberi agar spesies itu dapat terus hidup dalam persekitaran ekologi semula jadi serta memastikan keseimbangan ekosistem hutan.

“Ekosistem semula jadi semakin terancam. Kawasan habitat hidupan liar sering diceroboh, ditambah pula dengan aktiviti penanaman semula kelapa sawit di kawasan bersebelahan hutan.

“Ini menyebabkan gajah lebih mudah mendapatkan makanan. Hal ini mengakibatkan berlakunya banyak insiden kawanan gajah keluar dari hutan untuk mencari sumber makanan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, gajah liar yang menceroboh masuk ke kawasan penempatan manusia atau dikenali sebagai konflik manusia-gajah telah mendapat perhatian tinggi sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Menurut data daripada Perhilitan, kes konflik manusia-gajah telah meningkat daripada 103 kes pada 2020 kepada 253 pada 2024 dengan Kluang paling tertinggi.

Walaupun Perhilitan berada di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan, katanya, kerajaan Johor pada tahun ini mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh serta meningkatkan kawalan terhadap kes konflik manusia-gajah.

Malah kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan khas bagi melaksanakan pelan ini.

“Di Johor, Perhilitan hanya mempunyai satu pasukan profesional yang mengendalikan urusan berkaitan gajah. Pada tahun 2024, mereka telah memindahkan 10 ekor gajah liar ke habitat yang lebih sesuai,” katanya.

Sementara pada tahun ini pula katanya, melalui penyelarasan kerajaan negeri serta bantuan dana yang diberikan, sehingga kini 17 ekor gajah telah berjaya dipindahkan.

“Sayangilah alam semula jadi, lindungi persekitaran dan pelihara hidupan liar supaya generasi akan datang masih berpeluang melihat kekayaan hutan asal kita,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast