KENYATAAN akhbar Mohamad Sabu berkenaan sokongan Itali dan Sepanyol terhadap Misi Sumud Global Flotilla.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyambut baik dan menyokong tindakan kerajaan Itali serta Sepanyol menghantar kapal tentera laut bagi membantu misi flotilla kemanusiaan ke Gaza selepas serangan dron baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah berani itu memperlihatkan bahawa di tengah-tengah keheningan dan kealpaan dunia, masih ada negara yang sanggup mengambil risiko demi memastikan bantuan sampai kepada rakyat Palestin yang terkepung.

Menurutnya, kerajaan Itali dan Sepanyol telah membuktikan mereka bukan hanya terbatas kepada retorik kosong semata-mata, tetapi sanggup menunjukkan keberanian moral dengan tindakan nyata.

Lebih malang, tambah beliau, dunia Arab yang sepatutnya menjadi benteng utama umat Islam masih terus bergantung harap kepada Amerika Syarika (AS).

“Harapan sebegitu hanya melemahkan diri sendiri sedangkan masa depan Palestin menuntut keberanian, kesatuan dan tindakan yang lebih tegas daripada saudara seagama mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohamad menambah, Palestin adalah ujian moral kepada seluruh umat manusia dan rakyat negara itu berhak hidup dengan aman, mendapat makanan, ubat-ubatan dan kebebasan daripada kepungan yang zalim.

Sehubungan itu tindakan Itali dan Sepanyol perlu menjadi inspirasi bahawa solidariti dengan Palestin tidak mengenal sempadan bangsa, agama atau benua.

Dalam masa sama, beliau menyeru negara-negara lain, khususnya dunia Islam, tidak terus berlengah dan hanya bergantung kepada kuasa besar yang jelas lebih mementingkan kepentingan geopolitik mereka.

“Tampil dan bertindaklah dengan keberanian yang sama, kerana inilah masa untuk membuktikan bahawa kita benar-benar peduli terhadap nasib Palestin, bukan sekadar melaungkan slogan di pentas persidangan,” katanya.

Menurut beliau, solidariti dengan Palestin adalah kewajipan bersama dan sejarah akan mengingati siapa yang benar-benar berdiri mempertahankan keadilan, dan siapa yang sebaliknya.

Terdahulu media melaporkan, Sepanyol bersama Itali, menghantar kapal perang bagi melindungi Global Sumud Flotila (GSF) yang membawa bantuan ke Gaza selepas serangan dron berhampiran perairan Greece.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, berkata konvoi kemanusiaan itu disertai rakyat dari 45 negara yang membawa makanan untuk penduduk Gaza serta menunjukkan solidariti terhadap penderitaan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast