ISKANDAR PUTERI – Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva mahu terus mencabar kemampuan dirinya dalam perlawanan akan datang.
Bergson nekad untuk terus bekerja lebih keras bagi membantu skuad Harimau Selatan itu melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.
Menurut pemain berusia 34 tahun itu, dia juga berazam untuk meledak lebih banyak gol buat JDT pada perlawnaan-perlawanan akan datang.
“Sejujurnya, saya tidak memikirkan soal berita yang ditulis mengenai saya ketika menjaringkan gol atau tidak menjaringkan gol kerana perkara pertama terlintas di fikiran adalah untuk membantu rakan sepasukan di atas padang.
“Ini kerana, sebagai pemain, saya perlu mencabar kemampuan diri saya dan menjadi pilihan ketua jurulatih.
“Sama ada saya menjaringkan tiga gol atau tidak, fokus saya adalah untuk membantu pasukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan antara JDT dan Bangkok United dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee, di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Setelah beberapa kali tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama, Bergson kembali mengganas apabila meledak hatrik ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan Bangkok United 4-0 dalam aksi ACC tersebut.
Satu lagi gol, dijaringkan Joao Figueiredo pada mint ke-52, juga menerusi lorongan cantic daripada Bergson.
Untuk rekod, ini merupakan hatrik kedua berturut-turut buat ‘mesin gol JDT’ ini setelah turut meledak hatrik ketika membenam Sabah FC pada aksi Liga Super di venue sama, minggu lalu.
Malah, Bergson yang sudah bersama-sama JDT sejak 2021 melakar sejarah sebagai penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan rekod 109 jaringan, mengatasi pencapaian Indra Putra Mahayuddin dengan 106 gol.
Sementara itu Bergson berkata, rekod berkenaan merupakan satu kepuasan buat dirinya apatah lagi apabila memainkan peranan penting buat skuad Harimau Selatan itu dalam mengharungi saingan musim ini.
“Saya hanya mahu memberikan yang terbaik kepada pasukan. Saya berazam untuk bekerja lebih keras dan memastikan JDT muncul selaku pasukan yang lebih baik,” katanya.- MalaysiaGazette
















