KUALA LUMPUR – Persatuan Pemandu eHailing Utara (NeHDA) menyifatkan insiden seorang pemandu e-hailing yang didakwa memandu secara berbahaya sehingga hampir melanggar seorang pejalan kaki membuka ruang kepada perbincangan lebih besar dan mendalam mengenai tekanan serta kualiti industri e-hailing masa kini.
NeHDA dalam satu kenyataaan hari ini berkata, realitinya, pemandu e-hailing hari ini berdepan dengan tambang yang rendah; komisen syarikat operator yang tinggi, selain peningkatan kos operasi.
Selain itu, pemandu e-hailing juga terpaksa mengejar `trip sampah’ demi kelangsungan hidup.
Dalam masa sama, syarat kelayakan pemandu yang semakin longgar termasuk bagi peperiksaan mendapatkan lesen e-hailing (PSV) menyebabkan lonjakan jumlah pemandu, sekali gus menjejaskan profesionalisme dan keselamatan industri tersebut.

“NeHDA berpandangan tekanan ekonomi dan sistem yang tidak seimbang telah mewujudkan suasana kerja yang tidak sihat, sehingga mendorong segelintir pemandu bertindak di luar batas demi mengejar pendapatan harian,” katanya.
Sehubungan itu, NeHDA mencadangkan supaya dilakukan penilaian semula terhadap struktur tambang dan komisen oleh platform e-hailing.
Selain itu, syarat kelayakan sebagai pemandu e-hailing juga perlu diperketatkan termasuk menyediakan latihan PSV yang berkualiti.
Dalam masa sama, ujarnya, sebuah badan pemantau industri gig yang bebas dan telus perlu ditubuhkan, manakala golongan pemandu e-hailing sepenuh masa perlu diberikan sokongan psikososial dan perlindungan sosial.
Tegasnya, NeHDA tidak menyokong sebarang bentuk kecuaian atau pelanggaran undang-undang, namun turut menyeru agar punca akar masalah industri itu ditangani supaya tidak terus melahirkan pemandu yang tertekan, cuai dan membahayakan keselamatan orang awam.
“Pemandu bukan sekadar pelaksana perjalanan. Mereka adalah manusia yang berjuang dalam sistem yang perlu diperbaiki,” katanya.
Semalam, media melaporkan video tular seorang pemandu e-hailing memandu secara melulu dan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah hingga hampir merempuh seorang pejalan kaki di Jalan Sultan Hishamudin di sini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad kemudian mengesahkan lelaki berusia 42 tahun itu ditahan pada pukul 8.15 pagi.
Menurutnya, pemandu kereta Perodua Bezza itu dikesan melanggar lampu isyarat merah di lokasi berkenaan dari arah Jalan Kinabalu menghala ke Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka.
Video kejadian tersebut dipercayai berlaku pada Selasa lalu, tular di aplikasi media sosial TikTok menerusi rakaman berdurasi 32 saat.
Kereta terbabit yang berada di lorong kanan dilihat hampir melanggar seorang pejalan kaki wanita hingga menyebabkan barang dibawanya terjatuh, namun wanita berkenaan difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan. – MalaysiaGazette

















Merepek. Menunggang isu utk naikkan tambang. Si pemandu bebal tu, kalaupun dia tak kejar trip, tentu perangai nya sama saja. Tak berhenti di lampu merah atau semasa pejalan kaki melintas.
Bukan isu kejar trip atau tekanan ekonomi pemandu ehailing. Berhenti ambil kesempatan atas isu keselamatan umum.