JDT menang ke atas Bangkok United 4-0 pada aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. - Foto ihsan Johor Southern Tigers.

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mendakwa skuad kesebelasannya berjaya mengeksploitasi kelemahan Bangkok United dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.

Munoz berkata, kesungguhan dan disiplin tinggi dipamerkan pemainnya juga membolehkan mereka meraih kemenangan 4-0 ke atas Bangkok United dalam merebut Piala Shopee dalam ACC tersebut.

Skuad Harimau Selatan katanya, mempamerkan aksi bertenaga terutama pada babak kedua bagi memastikan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

“Lawan yang kita hadapi bukannya calang-calang pasukan.  Mereka memberikan tentangan sengit sejak awal namun sebaik kita menemui rentak dan menjaringkan gol, perlawanan mula berubah.

“Setelah jaringan tersebut, pemain juga dilihat berjaya mengeksplotasi kelemahan pelawat hingga berjaya meledak tiga lagi gol.

“Tahniah kepada pemain atas komitmen yang diberikan ketika beraksi di padang,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Pada perlawanan berkenaan, JDT meledak empat gol menerusi hattrick menerusi penyerang Bergson Da Silva pada minit ke-46, 73 dan 91 sementara Joao Figueired meledak (min-52) pada babak kedua bagi melengkapkan kemenangna penuh gaya skuad Harimau Selatan itu.

Sementara itu, Munoz turut memuji aksi dipamerkan Afiq Fazail yang  disifatkan telah membantu mengukuhkan bahagian tengah pasukan.

Katanya, selain memberikan kestabilan buat pasukan, Afiq juga dilihat berjaya mengemudi jentera tengah pasukan bagi mematahkan serangan lawan.

“Bagi saya, Afiq seorang pemain yang berpengalaman dan tahu melaksanakan peranan yang diberikan dengan baik. Tak salah saya memberikan kepercayaan kepadanya.

“Dia cukup bertenaga dan bekerja keras untuk memenangi setiap pertembungan dengan pemain lawan dan ia merupakan kelebihan dimiliki Afiq yang sangat berguna buat JDT,”  katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast