Antara pemandu kereta dan kenderaan yang dikenakan notis advokasi. Foto JSPTKL

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11,308 notis atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dan kes melibatkan pemandu kereta merekodkan kesalahan tertinggi sepanjang kempen advokasi Op Patuh Undang-undang (OP PUU).

Operasi itu dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) yang bermula selama tiga hari sejak 23 hingga 25 September lalu membabitkan pelbagai kategori kenderaan dan individu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, berdasarkan statistik, pemandu  kereta merekodkan sebanyak 4,664 notis advokasi diikuti penunggang motosikal adalah 4,587 notis.

Selain itu, kenderaan lain melibatkan pemandu van mencatatkan sebanyak 315, pemandu teksi (265), pemandu lori(253) manakala penjalan kaki (1,224).

Turut merekodkan kesalahan tertinggi sepanjang operasi itu adalah halangan lalu lintas (5,217) kes, gagal patuh lampu isyarat (2,489) kes, pejalan kaki tidak guna lintasan (1,139) kes, dan nombor plat tidak mengikut peraturan (927) kes.

Tidak memakai topi keledar (407) kes, tidak pakai pinggang keledar (325) kes, berhenti di petak kuning (219) kes dan berhenti melepasi garisan putih (389) kes, katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamed Usuf, pelaksanaan notis advokasi itu adalah peringatan awal kepada pengguna jalan raya supaya lebih peka terhadap pematuhan undang-undang dan keselamatan jalan raya.

“Walaupun tiada kompaun dikenakan, setiap kesalahan yang direkodkan ini menjadi indikator tahap disiplin masyarakat ketika berada di jalan raya.

“Sehubungan itu, kita mengingatkan orang ramai perlu menjadikan advokasi ini sebagai pengajaran sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya.

Mohamed Usuf menambah, sejak OP PUU dilaksanakan pada 6 hingga 25 September lalu, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 60,596 notis advokasi.

“Kempen ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap disiplin dan keselamatan pengguna jalan raya di ibu negara berada pada tahap terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast