ALOR GAJAH – Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan merogol pelajar sekolah di sebuah rumah di Kampung Air Molek, Kuala Sungai Baru di sini April lalu.
Tertuduh, Muhamad Asyraf Ramli, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa merogol gadis bawah umur berusia 15 tahun 11 bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Kampung Air Molek, Kuala Sungai Baru di sini kira-kira 11.30 malam 1 April lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan RM30,000 selain tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan rendah kerana berasal daripada keluarga susah dan hanya dia seorang bekerja.
Mahkamah kemudian mengarahkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















