KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Dr. Lingeshwaran R Arunasalam menggesa kerajaan bertindak segera menyelesaikan isu kontrak kain uniform jururawat bernilai RM98 juta yang didakwa berkualiti rendah dan tidak selesa dipakai.
Beliau berkata isu ini bukan baharu, malah telah dibangkitkan di Dewan Negara pada 5 Mac lalu dengan cadangan supaya kaedah pembelian berpusat digantikan dengan pemberian elaun kepada pegawai berkelayakan untuk membeli uniform berkualiti sendiri.
“Jangan tolak ansur atau melengah-lengahkan isu ini. Kebajikan dan keselesaan barisan hadapan mesti menjadi keutamaan, bukannya mengekalkan kontrak yang gagal memenuhi piawaian kualiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, cadangan penambahbaikan kini sedang diteliti oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Kata beliau, berdasarkan jawapan bertulis kepada Dewan Negara, KKM sedang menilai kadar bantuan serta kaedah pemantauan sebelum kertas cadangan dimajukan semula kepada MoF untuk pertimbangan lanjut.
Malah deliau menyambut baik pendirian Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang tegas membangkitkan isu ini dengan menuntut akauntabiliti demi kebajikan jururawat dan barisan hadapan.
“Jururawat adalah tulang belakang sistem kesihatan negara. Mereka berhak memakai uniform yang selesa dan bermaruah ketika merawat pesakit bukan kain yang menjejaskan imej profesion dan keselesaan kerja,” tegasnya.
Menurut laporan, kontrak berkenaan melibatkan syarikat sendirian berhad yang diarahkan KKM untuk menggantikan kain yang tidak menepati spesifikasi, sementara kontrak sedia ada akan berkuat kuasa hingga 31 Disember 2025 sebelum sistem baharu dilaksanakan.
Lingeshwaran menegaskan beliau akan terus memantau perkara itu di Parlimen bersama ahli legislatif lain bagi memastikan penyelesaian terbaik dicapai segera.
“Jururawat tidak seharusnya dipaksa bekerja dengan uniform yang tidak berkualiti. Jika kerajaan benar-benar menghargai pengorbanan mereka, isu ini mesti diselesaikan segera dan tidak boleh lagi ditangguh,” katanya. -MalaysiaGazette
















