KUANTAN – Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Pahang terus menunjukkan prestasi cemerlang, konsisten dan berdaya saing dalam menyumbang kepada pembangunan negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini terdapat sembilan syarikat induk dan 48 anak syarikat yang beroperasi aktif.
Menurutnya, prestasi kewangan GLC Pahang semakin kukuh apabila hasil meningkat daripada RM2.4 bilion pada tahun 2023 kepada RM3 bilion pada tahun 2024, manakala keuntungan bersih mencecah RM616 juta.
“Pulangan langsung kepada Kerajaan Negeri juga melebihi RM135 juta, dengan aset bertambah kepada RM9.7 bilion serta liabiliti berjaya diturunkan kepada RM3.6 bilion.
“Sejak tahun 2019 hingga 2024, GLC telah menyalurkan sebanyak RM545 juta kepada Kerajaan Negeri, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan negeri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada 2024, sumbangan GLC kepada KDNK Pahang berjumlah RM3.16 bilion atau 4.6 peratus daripada nilai keseluruhan RM68.7 bilion, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri pada kadar 5.7 peratus, melebihi kadar pertumbuhan nasional iaitu 5.1 peratus.
Sementara itu, dalam sektor pelaburan, pencapaian pelaburan Negeri Pahang sehingga 23 September 2025 ialah RM17.434 bilion melepasi sasaran tahun ini iaitu RM14.093 bilion.
Kejayaan ini bukan sahaja menjana keuntungan, tetapi turut mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan, melaksanakan pelbagai projek pembangunan, dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Inilah terjemahan sebenar Aspirasi Pahang 1st yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan utama.
“Di samping itu, bersempena Persidangan GLC Pahang 2025, saya telah melancarkan Program Pahang Startup Roadmap 2030 yang merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri untuk membangunkan ekosistem startup yang kukuh, dengan sasaran melahirkan 429 syarikat baharu, menjana RM4.6 bilion nilai ekonomi serta mewujudkan 5,362 peluang pekerjaan,” tambahnya.
Wan Rosdy yakin dengan komitmen berterusan semua pihak, GLC Pahang akan terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri, memperkukuh pendapatan kerajaan negeri, mempertahankan kemakmuran rakyat, serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Pahang. – MalaysiaGazette
















