Suasana sekitar pendaftaran pelajar baharu USM.

PULAU PINANG – Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil seramai 4,236 orang pelajar baharu bagi sidang akademik 2025/2026.

Jumlah ini merangkumi 3,378 pelajar di penempatan Kampus Induk, 919 di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan 639 di Kampus Kesihatan Kubang Kerian.

Selain itu, 70 calon laluan feeder (PRA-U USM, Sains Hayat Kolej MARA Kulim) ditawarkan pengajian perubatan di USM KLE, India, manakala kehadiran lima pelajar orang asli direkodkan pada pengambilan kali ini.

Seiring agenda mengurangkan ketidaksamaan, 1,972 pelajar daripada kategori B40 (46.55%) diterima masuk melalui saluran UPU.

Bagi merapatkan jurang akses pada peringkat awal pengajian, beberapa intervensi dilaksanakan termasuk agihan 50 komputer riba, sumbangan RM1,000 kepada 15 pelajar menerusi inisiatif kebajikan, pengedaran 600 kit keperluan asas bernilai
RM60,000, serta Bantuan Awal Pendidikan berjumlah RM200,000.

Program Siswa Sulung Malaysia turut menempatkan 280 pelajar generasi pertama ke universiti dengan jumlah kos RM2.8 juta.

Penambahbaikan kemudahan di desasiswa, termasuk penggantian perabot, dilaksana bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Komponen keterangkuman kampus diperkukuh melalui tawaran tempat kepada 17 calon OKU merentasi kampus, disokong prasarana mesra OKU seperti tandas khusus, laluan kerusi roda dan parkir berhampiran bilik kediaman di desasiswa terpilih.

Pendekatan “akses sebagai norma” ini memudahkan proses penyesuaian pelajar seawal minggu orientasi tanpa halangan
logistik.

“USM memulakan sidang akademik ini dengan menekankan komitmen kepada keterangkuman sosial dan akses
pendidikan berkualiti merentas latar sosioekonomi serta keupayaan.

“Dalam usaha memastikan tiada pelajar tercicir, universiti memperkukuh rantaian sokongan awal, prasarana
mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan amalan pengajaran yang inklusif,” menurut USM dalam kenyataan.

Dari sudut pembangunan akademik, USM mengarusperdanakan amalan Reka Bentuk Sejagat untuk Pembelajaran (UDL) bagi memastikan kandungan kuliah, aktiviti serta penilaian direkabentuk secara fleksibel dan boleh diakses.

Tumpuan turut diberikan kepada kebolehcapaian digital melalui penyediaan bahan berformat pelbagai, sari kata bagi kandungan video, serta pematuhan asas mesra pembaca skrin di platform e-pembelajaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast