KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuhkan prosedur keselamatan sekolah bagi memastikan persekitarannya bebas daripada risiko berbahaya.
Langkah itu perlu bagi mengelakkan kejadian murid Tahun Tiga yang maut selepas terjatuh dalam saluran kumbahan berulang lagi.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, kementerian tersebut perlu melibatkan pakar yang berkaitan dalam pengurusan dan pelaksanaan keselamatan di sekolah dan bekerjasama dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) supaya standard keselamatan dipatuhi dan risiko kemalangan dapat diminimumkan.
“CUEPACS berpandangan tindakan segera, menyeluruh, dan sistematik mesti dilaksanakan. Tragedi kehilangan nyawa ini adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, kementerian berkenaan juga perlu melakukan audit menyeluruh terhadap infrastruktur sekolah di seluruh negara bagi mengenal pasti titik risiko dan mengambil langkah pencegahan.
“CUEPACS percaya keselamatan murid harus menjadi agenda utama dalam pengurusan sekolah dan kementerian. Tiada kompromi boleh diberikan apabila ia melibatkan nyawa” katanya lagi.
Adnan berkata, sekolah yang tidak selamat akan menjejaskan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan negara.
Semalam, seorang murid Tahun Tiga, Abdul Fattah Khairol Rizal, meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan sekolahnya yang terletak di Lenggeng, Nilai.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kemudian berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian berkenaan dan tidak berkompromi terhadap aspek melibatkan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan.
Malah, katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan prosedur operasi standard.
Katanya, semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan pejabat pendidikan negeri perlu bertanggungjawab memastikan fasiliti sekolah berada dalam keadaan selamat.-MalaysiaGazette
















