SHAH ALAM – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yakin perdana menteri memahami keperluan serta komitmen yang dihadapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani cabaran berkaitan penyakit kronik, pembangunan fasiliti kesihatan, kekurangan kakitangan dan isu elaun pegawai perubatan.
Lantaran itu, beliau optimis sokongan tersebut akan diterjemahkan menerusi peruntukan yang munasabah kepada kementerian itu dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober ini.
“KKM bukan sahaja berdepan keperluan membina dan menambah baik fasiliti serta hospital yang daif, malah kami juga perlu meningkatkan semangat dan moral kakitangan melalui beberapa permintaan yang telah dikemukakan sebelum ini.
“Jadi, kali ini kita mengharapkan sesuatu yang jauh lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Bald & Beautiful Day 2025 di Lakeside Mall, Elmina, hari ini.
Namun begitu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan dalam membuat keputusan berkaitan peruntukan tersebut.
Tahun lalu, KKM menerima peruntukan kedua tertinggi dalam Belanjawan 2025 berjumlah RM45.3 bilion, meningkat berbanding RM41.2 bilion yang diterima pada tahun sebelumnya.-MalaysiaGazette
















