Donald Trump. Photo by AFP

KUALA LUMPUR – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke negara ini bagi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan depan disifatkan membuka satu pentas diplomasi besar buat Malaysia.

Pengerusi Pertubuhan Pencegahan Jenayah Malaysia Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad berkata, Trump bukan hadir sebagai penyelamat atau musuh, tetapi sebagai tetamu strategik yang kedatangannya boleh dimanfaatkan untuk membuka ruang perbincangan penting.

Sebagai tuan rumah, tambah beliau, Malaysia mempunyai peluang untuk menyambut Trump dengan penuh hormat, seperti yang dianjurkan di dalam Islam.

Dr Ahmad Fadhzil Mohamad.

Dalam masa sama, ujarnya, pertemuan bersemuka antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Trump boleh diatur secara strategik bagi membincangkan isu-isu besar seperti Gaza dengan suara yang jelas dan berani, termasuk mendesak gencatan senjata, pembebasan serta kemerdekaan Palestin.

“Selain itu, kedatangan Trump ini juga boleh dimanfaatkan untuk membuka kembali peluang pelaburan dan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan AS selepas isu reciprocal tariff yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Anwar sebelum ini mengumumkan Trump sudah mengesahkan kehadirannya pada sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara yang dijadual berlangsung pada Oktober depan.

Bagaimanapun, kehadiran Trump itu dibantah beberapa pihak termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkannya bertentangan dengan pendirian tegas Malaysia dalam mempertahankan Palestin, tetapi dalam masa sama menerima kehadiran sekutu kuat rejim Zionis.

Sementara itu, Ahmad Fadhzil berkata, jemputan terhadap Trump ke negara ini tidak boleh ditafsirkan sebagai tanda Malaysia menyebelahi AS dalam konflik yang sedang berlaku di Palestin khususnya di Gaza.

Ini kerana, jelasnya, Malaysia ketika ini turut terlibat dalam gerakan besar bersama-sama masyarakat dunia dalam isu Palestin melalui Misi Sumud Flotilla Gaza (SFG).

Katanya, misi itu membuktikan Anwar dan Trump tidak pernah sehaluan dalam isu Gaza dan Malaysia kekal tegas menyokong perjuangan Palestin, meskipun dasar luar Trump terhadap Israel jelas berbeza.

“Hakikatnya, dari sudut teknologi, sistem dan ekonomi, ramai dalam kalangan kita masih bergantung kepada produk dan sistem Amerika seperti iPhone, Facebook, Microsoft, Tesla dan Google.

“Ini menunjukkan kita hidup dalam dunia yang saling terhubung dan memerlukan penglibatan strategik, bukan pengasingan mutlak,” katanya.

Tambah Ahmad Fadhzil, konflik di Gaza bukan hanya memerlukan pejuang di medan, tetapi pada masa sama memerlukan diplomat yang bijaksana di meja rundingan, iaitu peranan yang sedang dimainkan Malaysia ketika ini.

Sehubungan itu, ujar beliau, sekiranya Anwar dapat menggunakan peluang kehadiran Trump dengan kebijaksanaan dan ketegasan, Malaysia berpotensi muncul sebagai suara Islam moden yang disegani dunia, bukan sekadar negara kecil yang hanya lantang di media sosial tanpa strategi.

“Soalnya, adakah kita bersedia untuk melihat gambaran lebih besar dan menyokong langkah diplomasi yang matang, atau terus terperangkap dalam kemarahan yang tidak membina?

“Inilah masanya Malaysia menunjukkan kematangan sebagai sebuah negara berdaulat yang tahu membezakan antara emosi dan strategi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast