KUALA LUMPUR – Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengecam keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung tujuh pemain bola sepak Malaysia dan mengenakan denda terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, walaupun menghormati integriti peraturan sukan, namun pihaknya tidak boleh berdiam diri terhadap keputusan FIFA itu yang disifatkan sebagai hipokrasi yang jelas.
Malah, tambah beliau, tindakan secara terbuka dan segera oleh FIFA di sebalik penjelasan FAM dan pengesahan yang dibuat oleh badan itu dalam mengesahkan kelayakan semua pemain terlibat sebelum ini memperlihatkan wujud motif yang meragukan.
“Ia amat berbeza dengan sikap berdiam diri dan kegagalan FIFA mengambil tindakan terhadap pasukan bola sepak Israel, yang terus menyertai pertandingan antarabangsa walaupun terdapat bukti kukuh mengenai genosid berterusan serta pelanggaran hak asasi manusia besar-besaran yang dilakukan rejim itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan, FAM dan tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Sementara itu, Jismi menambah, selama lebih dua tahun, masyarakat antarabangsa termasuk pelbagai badan hak asasi manusia, malah sebuah suruhanjaya siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendokumentasikan dan mengecam kekejaman rejim Zionis di Gaza.
Dalam masa sama, ujarnya, seruan untuk mengenakan sekatan seperti yang dikenakan terhadap Rusia selepas pencerobohan ke atas Ukraine yang hanya mengambil masa empat hari untuk diputuskan juga telah berulang kali diabaikan oleh FIFA.
Menurutnya, kegagalan itu jelas membuktikan bahawa prinsip FIFA tidak berlandaskan keadilan atau nilai kemanusiaan, tetapi lebih kepada kepentingan politik dan toleransi yang membimbangkan terhadap ketidakadilan yang serius.
“Ini bukan sekadar soal bola sepak, tetapi soal kemanusiaan serta prinsip asas keadilan dan kesaksamaan yang sepatutnya dijunjung dalam dunia sukan.
“Bagaimana sebuah organisasi yang mendakwa menjadi penanda aras permainan adil di peringkat global boleh menutup mata terhadap genosid, tetapi menghukum pemain Malaysia atas kesilapan birokrasi?” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, MAHAR berdiri teguh bersama pemain Malaysia yang terjejas serta FAM, dan menggesa FIFA segera menimbang semula hukuman yang tidak adil tersebut.
Paling utama, tegas beliau, FIFA perlu menunjukkan kepimpinan moral yang sebenar dengan mengambil tindakan bermakna terhadap persatuan bola sepak Israel sehingga rejim Israel menghentikan tindakan genosid dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
Tambahnya, kegagalan berbuat demikian akan menyerlahkan lagi reputasi FIFA sebagai sebuah organisasi yang mengutamakan kepentingan politik berbanding nyawa manusia dan nilai yang kononnya dijunjung.
“MAHAR bersama badan-badan kemanusiaan lain serta warga prihatin di seluruh dunia akan terus memperjuangkan pelaksanaan adil dan saksama terhadap peraturan antarabangsa, sama ada di dalam atau di luar padang,” katanya. – MalaysiaGazette
















