Foto: FB Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas mendesak kerajaan menarik balik jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara hujung bulan depan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jemputan itu wajar dibatalkan sebagai tanda bantahan dan ketidakpuasan hati terhadap pendirian AS yang secara terang-terangan menyokong Israel serta menjadi sekutu utama dalam melakukan genosid terhadap rakyat Gaza khususnya, dan rakyat Palestin amnya.

Menurut beliau, Malaysia tidak sepatutnya berbangga duduk sepentas bersama pemimpin yang zalim, tidak berperikemanusiaan, dan menjadi penyokong utama keganasan global.

“Tindakan AS yang berterusan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedangkan hampir seluruh dunia bersatu menentang jelas menunjukkan bahawa Trump tidak layak berada di negara mahupun rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan sama ada Malaysia masih boleh menerima tindakan AS yang bukan sahaja enggan menyokong resolusi menuntut gencatan senjata serta-merta dan pembebasan semua tebusan, malah menolak tuntutan dunia agar Israel membuka sekatan bantuan kemanusiaan dan menghentikan serangan ketenteraan di Gaza.

“Sampai tahap manakah pemimpin Malaysia harus terus berkompromi dan bertoleransi?” katanya.

Apa yang menghairankan, tambah beliau, ketika hampir seluruh negara di dunia mengecam Trump atas keterlibatan dalam tindakan melampau Israel terhadap Iran, Yaman, Qatar, Iraq dan negara-negara serantau, Malaysia pula memilih untuk bersekongkol dengan penzalim.

Jelasnya, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilihat lantang membantu rakyat Palestin tidak sepatutnya tercemar dengan tindakan menjemput dan duduk bersama individu yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan ribuan rakyat Palestin.

“Presiden Trump tidak wajar diraikan sebagai wira atau negarawan.

“Batalkan segera jemputan tersebut atau rakyat akan bangkit menyatakan penentangan,” katanya.

Anwar sebelum ini mengumumkan Trump sudah mengesahkan kehadirannya pada sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara yang dijadual berlangsung pada Oktober depan.

Bagaimanapun, kehadiran Trump itu dibantah beberapa pihak termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkannya bertentangan dengan pendirian tegas Malaysia dalam mempertahankan Palestin, tetapi dalam masa sama menerima kehadiran sekutu kuat rejim Zionis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast