Naazron Abdul Yusof.
KUALA LUMPUR – Pemandu lori yang merempuh tiga kenderaan dalam kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang semalam direman dua hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof, setakat ini polis telah mengambil lima keterangan, termasuk pemilik syarikat yang juga majikan pemandu tersebut.
Menurutnya, setakat siasatan awal, pemandu lori mendakwa dia melompat keluar dari kenderaan kerana menghadapi masalah brek.
“Lori yang terlibat dalam nahasi tersebut akan dihantar untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika mengulas perkembangan lanjut nahas melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70.
Nahas yang berlaku pada jam 10.50 pagi itu menyebabkan seorang bayi lelaki berusia 12 bulan maut manakala lapan lagi cedera.
Naazron menambah, tiga ahli keluarga bayi yang maut iaitu ibu, nenek dan kembarnya telah dibenarkan keluar dari Hospital Serdang.
Manakala seorang penumpang Proton X70 masih dirawat di KPJ Kajang dan dua kakitangan JKR masih mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
Naazron berkata, hasil siasatan polis mendapati kali terakhir lori berkenaan diselenggara pada April 2025.
“Pihak polis masih menyiasat sama ada betul wujud masalah brek seperti yang didakwa pemandu lori sehingga mengakibatkan tragedi tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast