Para peserta demonstrasi berarak di Berlin nenuntut serangan ke atas Gaza dihentikan. Foto AFP

BERLIN – Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di jalan raya ibu kota Jerman pada Sabtu, menuntut Israel menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza.

Orang ramai yang besar jumlahnya mengibarkan bendera Palestin dan sepanduk bertulis “Bebaskan Palestin” serta “Makanan dan air adalah hak asasi manusia” ketika mereka berarak dari dewan bandar Berlin.

“Hari ini kita dapat menghantar isyarat majoriti  menentang dasar Israel dan menentang genosid ini kelihatan di jalanan dan boleh bertindak,” kata Dustin Hirschfeld, yang menyertai demonstrasi “Together for Gaza”.

Polis menganggarkan sekitar 60,000 orang menyertai perarakan dan perhimpunan itu, yang dianjurkan oleh parti politik Die Linke serta kumpulan masyarakat sivil.

Penganjur pula menganggarkan jumlahnya sekitar 100,000 orang.

Kira-kira 1,800 anggota polis dikerahkan untuk memantau tunjuk perasaan itu.

Dalam pada itu, Parti Die Linke menuduh kerajaan Jerman berdiam diri ketika situasi kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

Kerajaan “mesti akhirnya mengambil tindakan dan meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Israel untuk memaksanya mengubah haluan,” desak parti itu, sambil menggesa orang ramai menyertai tunjuk perasaan tersebut.

Menjelang sekitar jam 1800 GMT, acara itu kekal aman.

Demonstrasi besar-besaran ini menyerlahkan kemarahan yang semakin memuncak dan perubahan sentimen awam di Jerman.

Secara tradisinya, Israel menikmati sokongan kuat di Jerman, dan Berlin yang berusaha menebus ”dosa” Holocaust merupakan salah seorang sekutu terkuat Israel.

Namun apabila kempen ketenteraan itu berlarutan, kecaman antarabangsa semakin meningkat.

Berlin telah memperhebatkan kritikannya Canselor Friedrich Merz mengumumkan pada Ogos bahawa kerajaannya akan menyekat penjualan senjata kepada Israel.

Namun pengkritik berhujah, tindakan Merz masih belum bertindak cukup jauh.

Setakat ini, Jerman enggan mengenakan sekatan ke atas Israel, dan memberi isyarat ia belum bersedia untuk mengiktiraf negara Palestin, berbeza dengan banyak sekutunya di Barat.

Serangan Israel di Semenanjung Gaza tercetus akibat serangan  Hamas, pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel.

Sehingga kini, serangan balas Israel telah meragut nyawa lebih 65,926 rakyat Palestin, juga kebanyakannya orang awam, menurut angka Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas dan dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast