Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat hadir ke lokasi bencana seperti banjir bagi meninjau situasi di sekitar Kampung Rampayan dan Inanam.

KOTA KINABALU – Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu membawa mesej besar kepada rakyat negeri itu, kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata, lawatan Perdana Menteri bukan sahaja menyentuh isu pembangunan dan kebajikan rakyat, tetapi juga memberi suntikan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Pertama, Perdana Menteri membawa mesej bahawa Kerajaan Pusat amat prihatin dengan nasib rakyat Sabah.

“Beliau turun sendiri meninjau kawasan bencana, termasuk lokasi banjir di beberapa kawasan Parlimen dan ini memberi keyakinan bahawa suara serta masalah rakyat Sabah didengari,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini.

Pengerusi Keadilan Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Menurut Mustapha, mesej kedua yang dibawa Anwar ialah tekad untuk membina negara secara inklusif, tanpa perpecahan politik, kaum atau wilayah.

“Sebagai perdana menteri, beliau menegaskan kita tidak boleh membiarkan isu perkauman, agama atau jurang wilayah memecahbelahkan negara.

“Sabah berhak memilih pemimpin mereka, sama ada dari parti nasional atau lokal, tetapi jangan sampai diperdaya dengan naratif yang seolah-olah Kerajaan Pusat tidak berbuat apa-apa,” ujarnya.

Mustapha turut menegaskan, rekod pentadbiran Anwar lebih jelas dalam menunaikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Untuk Bajet 2024 Sabah menerima RM300 juta, manakala bagi Bajet 2025 jumlah itu ditingkatkan kepada RM600 juta. Walaupun 40 peratus hasil belum dipenuhi sepenuhnya, sekurang-kurangnya ada kemajuan ketara,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman mengenai tambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga membuktikan komitmen Kerajaan Pusat memperkukuh representasi politik Borneo di peringkat nasional.

“Itu antara perjuangan lama Sabah. Jika jumlah kerusi Parlimen ditambah, kita boleh urus kawasan dengan lebih baik, mempercepat pembangunan dan memastikan Sabah tidak lagi ketinggalan.

“Perdana Menteri sudah menyatakan komitmen perkara ini sedang dikaji secara serius,” jelasnya.

Mengulas sambutan rakyat, Mustapha berkata, populariti Anwar di Sabah semakin kukuh.

“Di Inanam sahaja, lebih 2,000 orang hadir walaupun program hanya dibuat dalam masa singkat. Begitu juga di Tawau dan Sandakan. Ini membuktikan rakyat melihat beliau bukan sekadar pemimpin parti, tetapi seorang ‘nation builder’,” katanya.

Menurutnya, mesej utama yang dibawa perdana menteri ialah politik boleh dimainkan, tetapi jangan sampai merosakkan negara.

“Kadang-kadang ada pimpinan tempatan yang menyerang kerajaan kononnya pusat tidak buat apa-apa, sedangkan rekod menunjukkan sebaliknya sejak Kerajaan Madani mengambil alih. Rakyat perlu mempersoalkan semasa pimpinan tersebut berkuasa apa rekod yang telah dibuat.

“Kita harus berlaku adil. Ekonomi negara juga sedang ditangani, dan Sabah tidak pernah diketepikan malah mendapat perhatian sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast