TASEK GELUGOR – Jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah masih belum diketahui kerana rundingan bersama parti-parti dalam gabungan masih berjalan,” kata Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya sedang berusaha mendapatkan kerusi yang sesuai bagi membolehkan parti itu turut serta dalam PRN berkenaan.
“Buat masa ini (jumlah kerusi) belum diketahui lagi dan kalau boleh kita nak banyaklah kerusi, tapi proses rundingan sedang berjalan kini.
“Kita akan cuba mendapatkan (kerusi) untuk PRN Sabah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Mohamad merasmikan Program Pemerkasaan Sektor Pertanian KPKM Inc. Pulau Pinang di sini.
Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Usahawan negeri, Fahmi Zainol.
Media pada Julai lalu melaporkan Amanah berhasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerusi-kerusi DUN yang disasarkan itu masih belum dimuktamadkan kerana rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) masih berjalan.
Untuk rekod, Amanah mempunyai kira-kira 20,000 ahli dan 18 bahagian di seluruh Sabah.- MalaysiaGazette
















