Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika menghadiri program bersama warga komuniti cacat penglihatan dalam Program Sejahtera Keluarga MADANI semalam. - Foto: FB Dato' Setia Dr. Naim

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan Pelan Tindakan Khas Syariah Inklusif OKU 2026 hingga 2030 dirangka segera.

Menurut beliau, pelan itu akan menjadi panduan menyeluruh untuk memastikan perkhidmatan Syariah benar-benar menyantuni keperluan komuniti golongan orang kurang upaya (OKU) secara sistematik dan berkesan.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan kemudahan mesra OKU diperluas di semua institusi agama dan mahkamah Syariah.

Ia termasuk penyediaan bahan bacaan braille, jurubahasa isyarat serta latihan kesedaran kepada para pegawai agar lebih memahami realiti hidup golongan tersebut.

Selain itu, katanya, kerjasama antara agensi seperti abatan Kemajuan Islam (Jakim); Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM); Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) OKU akan terus diperkukuh.

“Kita tidak boleh bergerak bersendirian. Sinergi antara kerajaan dan masyarakat sivil adalah kunci untuk menjayakan agenda inklusiviti ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Terdahulu, Mohd Na’im menghadiri program bersama warga komuniti cacat penglihatan dalam Program Sejahtera Keluarga MADANI, iaitu inisiatif yang bukan sahaja menyantuni, tetapi turut mengangkat martabat insan yang sering terpinggir daripada arus perdana pembangunan.

Menurut beliau, komuniti OKU khususnya cacat penglihatan berdepan pelbagai cabaran sama ada dari akses kepada maklumat Syariah, kemudahan fizikal di mahkamah hinggalah kepada peluang pekerjaan dan sokongan sosial.

Ujarnya, ramai dalam golongan itu yang masih bergelut untuk mendapatkan hak mereka secara adil dan bermaruah.

“Malaysia Madani bukan sekadar slogan. Ia adalah iltizam kita untuk membina negara yang menyantuni semua tanpa mengira latar fizikal, sosial atau ekonomi.

“Inilah wajah Islam yang rahmah yang menjunjung prinsip maqasid Syariah.

“Menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta untuk semua rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar seluruh institusi agama, masyarakat sivil dan rakyat Malaysia bersama-sama menjayakan agenda tersebut.

“Tiada siapa harus tercicir daripada mendapat keadilan, kasih sayang dan peluang untuk hidup bermaruah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast