Mangsa maut di lokasi kejadian akibat cedera di bahagian kepala.

PONTIAN – Seorang wanita maut apabila dirempuh sebuah lori di KM 74.5 Jalan Johor Bahru – Batu Pahat ketika melintas jalan semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, semasa kejadian mangsa yang berusia 54 tahun sedang melintas jalan dari kanan ke kiri jalan.

Namun, disebabkan jarak terlalu dekat menyebabkan pemandu lori yang berumur 28 tahun mengelak ke kiri dan terlanggar pejalan kaki tersebut di kaki lima jalan.

Akibat kemalangan tersebut, pejalan kaki disahkan maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala manakala pemandu lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika disabitkan kesalahan penjara minimum 5 tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang 5 tahun.

Polis IPD Pontian menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya.

Dalam pada itu beliau meminta sekiranya ada saksi berkaitan kejadian kemalangan ini, sila tampil di Pejabat Trafik IPD Pontian atau hubungi Insp. Wan Hairi di telefon nombor 012-3450565 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast