ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menurunkan kesebelasan terbaik ketika berentap dengan MachidMachida Zelvia FC pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, esok.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Xisco Munoz berkata, ini kerana perlawanan tersebut dianggap penting bagi mereka.
“Justeru, saya menjangkakan perlawanan yang sengit berdepan Machida Zelvia FC ini dan mahu kesemua pemain bersedia untuk beraksi,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan tersebut di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.
Beliau mahu JDT memberikan aksi terbaik ketika melayan kunjungan pasukan pelawat itu selain anak buahnya perlu beri tumpuan sepenuhnya.
“Perkara paling penting ketika ini adalah kesemua pemain perlu memberikan fokus kepada pasukan sendiri dan tidak terlalu memikirkan mengenai pasukan atau kelab yang bakal ditentang,” katanya.
Tambah Munoz, kesemua pemain diharap dapat mengekalkan fokus pada aksi berdepan skuad Zelvia itu dan tidak terbawa-bawa dengan kemenangan lalu.
Ujarnya, berdepan skuad Zelvia itu merupakan aksi baharu dan memerlukan setiap pemain untuk bersedia mengharungi perlawanan tersebut.
“Seperti yang pernah saya katakan, perlawanan ini penting buat kita dan dalam masa sama ia juga agak sukar diharungi.
“Tetapi, kami semua tetap positif dan akan cuba memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Munoz enggan mengulas lanjut apabila diajukan soalan berhubung ketiadaan kelibat tiga pemain Harimau Malaya pada aksi ACLE kali ini.
Sementara itu tonggak pertahanan, Shane Lowry berkata, sesi latihan menjelang perlawanan juga dilihat berjalan lancar dan memberikan gambaran skuad Harimau Selatan itu benar-benar telah bersedia bagi menghubungi aksi ini.
“Saya tahu lawan kami bukannya calang-calang pasukan dan perlawanan kali ini agak sukar buat kami.
“Namun, saya percaya kesemua pemain yang diturunkan nanti bakal memberikan aksi terbaik bagi perlawanan ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















