ISKANDAR PUTERI – Machida Zelvia FC perlu mempamerkan gaya serta corak permainan mereka sendiri pada saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, esok.
Pengendali Machida Zelvia FC, Go Kuroda berkata, ini merupakan aksi sulung mereka dalam ACLE dan mahu skuad kendaliannya muncul selaku pencabar dan mara lebih jauh dalam saingan tersebut.
“Ini adalah pertama kali Machida Zelvia berentap dalam ACLE dan kami teruja untuk bersaing dalam kejohanan terbesar di rantau ini.
“Kami juga menjangkakan pertembungan sengit berdepan JDT memandangkan ia merapakan aksi pertama di gelanggang lawan.
“Bagaimanapun, sudah menjadi fokus kami untuk menunjukkan gaya permainan kami di mata dunia dan sekali gus membuktikan kemampuan Machida,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan berkenaan di stadium tersebut, hari ini.
Tambahnya, beberapa pemain seperti Yuki Soma dan Shota Fujio turut berada pemerhatian setelah direhatkan pada aksi Liga 1 Jepun (Liga 1 J), ketika mencatatkan kemenangan 1-0 menentang Fagiano Okayama.
“Kita akan meninjau keadaan mereka dalam masa sama meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada pemain yang akan diturunkan dengan menunjukkan komitmen tinggi, kami mahu pastikan misi memburu tiga mata tercapai,” ujarnya.
Sementara itu, bagi mengulas mengenai tiga pemain utama JDT yang tidak beraksi pada perlawanan tersebut kerana digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Kuroda berkata, situasi itu langsung tidak memberikan kesan kepada skuad kendaliannya itu.
Menurut bekas guru di Aomori Yamada High School itu, misi pasukannya adalah memburu tiga mata pertama setelah sekadar seri 1-1 pada aksi pembukaan menentang kelab Korea Selatan, FC Seoul, 16 September lalu.
“Ya, kami maklum mengenai penggantungan pemain JDT itu dan bersimpati dengan nasib mereka dan kami juga ada pemain tidak dapat diturunkan seperti Neta Lavi yang dibelenggu kecederaan.
“Bagaimanapun, situasi dialami skuad Harimau Selatan itu sebenarnya tidak akan menguntungkan kami dan ia juga tidak mengubah perancangan kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















